Johor mahu meneroka peluang kerjasama strategik bersama Politeknik Republic (RP) di Singapura bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) di Johor agar lebih berdaya saing, dinamik dan selaras dengan keperluan industri.
Lawatan kerja yang diketuai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, untuk meninjau sistem pembelajaran dan penyelidikan di politeknik yang terletak di Woodlands itu.
Menurut Encik Aznan, tumpuan utama lawatan itu adalah untuk mempelajari serta menyesuaikan amalan terbaik RP ke dalam sistem TVET Johor bagi memperkukuh pelaksanaan pendidikan teknikal di negeri itu.
“Langkah ini amat penting bagi memastikan pelaksanaan TVET Johor terus relevan dengan arus perubahan global serta memenuhi keperluan industri masa kini, seiring aspirasi Johor menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Oktober.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan Johor beriltizam menjalin kerjasama jangka panjang dengan RP dalam bidang penyelidikan, latihan industri, serta pembangunan kurikulum yang menekankan inovasi dan kecekapan tenaga kerja.
“Usaha ini akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan sistem TVET Johor agar lebih bersaing dan berimpak tinggi, khususnya dalam konteks Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang membuka peluang besar kepada anak muda dan pelabur,” katanya.
RP ketika ini antara lain memiliki tujuh sekolah dan lima pusat kecemerlangan yang memberi tumpuan kepada bidang seperti pengurusan rantaian bekalan, hospitaliti, sukan dan kesihatan, seni sonik, teknologi agrikultur dan inovasi makanan.
Menurut Encik Aznan, bidang-bidang itu mempunyai potensi besar untuk diterokai dalam pembangunan TVET Johor yang lebih progresif.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata lawatan kerja tersebut amat signifikan dalam konteks pembangunan JS-SEZ, terutama dalam membina ekosistem bakat rentas sempadan.
“Politeknik Republic merupakan salah satu institusi teknikal dan vokasional terkemuka yang melahirkan tenaga mahir berorientasikan industri.
“Kerjasama dengan institusi seperti ini akan memperkukuh lagi usaha Johor untuk membangunkan modal insan bermutu tinggi bagi sektor utama seperti perkilangan maju dan ekonomi digital,” katanya.
Menurut Encik Lee, JS-SEZ menuntut pembentukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpandangan sejagat bagi menyokong sektor pelaburan strategik antara Johor dengan Singapura.
“Johor dan Singapura bukan sekadar jiran; kita adalah rakan kongsi dalam membentuk masa depan ekonomi serantau yang lebih makmur dan berdaya saing,” katanya.
Lawatan tersebut turut menandakan komitmen berterusan kerajaan Johor dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan pembangunan bakat antara kedua-dua pihak, sejajar dengan hala tuju strategik negeri untuk menjadi hab pengetahuan dan inovasi serantau menjelang 2030.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg