Belanjawan Johor 2026 disifatkan sebagai satu rancangan yang bukan sahaja menyusun angka perbelanjaan negeri, bahkan mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan setiap keluarga menikmati kediaman selamat, tersusun dan bermaruah.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata agenda perumahan menjadi tumpuan utama di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerana kediaman yang mantap merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri memperuntuk RM85.8 juta ($27 juta) di bawah Teras 3 Jaringan Keselamatan Sosial Perumahan bagi membina baru dan membaiki rumah daif, memberikan perlindungan lebih selamat kepada keluarga berpendapatan rendah.
“Tahun 2026 juga menandakan pencapaian penting apabila sebanyak 8,915 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dijadualkan siap, sekali gus membuka ruang lebih besar kepada rakyat Johor memiliki rumah pertama,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 November.
Beliau berkata kerajaan Johor turut menyediakan pelbagai bantuan termasuk RM40 juta Bantuan Sewa Rumah kepada 20,000 penerima; RM80 juta Bantuan Beli Rumah Pertama; serta kenaikan Bantuan Masuk Rumah daripada RM1,000 kepada RM2,000 bagi pembeli rumah pertama.
Langkah itu, tambahnya, memastikan rakyat bukan sahaja mampu membeli rumah bahkan juga dapat menetap di dalamnya tanpa beban kewangan melampau.
Datuk Mohd Jafni berkata Program Bangsa Johor Bahagia menerima RM12.9 juta bagi memperkukuh kesejahteraan masyarakat, manakala Program Pemutihan Kelayakan Penghuni PPR dan RSK-Tiada Sublet memastikan hanya mereka yang layak mendiami rumah rakyat.
“Sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan bagi penyelenggaraan PPR, RSK dan flat awam supaya kediaman kekal selamat dan terurus,” jelasnya.
Menurutnya, keseluruhan rangka tindakan perumahan itu menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos hidup dan keperluan menyediakan persekitaran kondusif untuk keluarga membesar.
“Johor terus bergerak dengan yakin dan rakyat kekal sebagai keutamaan,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, menyifatkan Belanjawan Johor 2026 sebagai pelan pembangunan menyeluruh yang menyokong struktur ekonomi negeri, pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, belanjawan bertema, ‘Bangsa Johor Sejahtera’ itu merangkumi enam teras utama Agenda Maju Johor dengan 260 inisiatif strategik merentasi bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan, kelestarian alam sekitar dan pembaharuan pentadbiran.
Pertumbuhan ekonomi Johor yang kukuh, termasuk pelaburan berjumlah RM218 bilion dan penciptaan lebih 64,000 pekerjaan, menjadi landasan kukuh bagi kerajaan negeri membentangkan lebihan belanjawan dengan sasaran hasil RM2.55 bilion.
Beliau berkata belanjawan itu turut selaras dengan perkembangan jangka panjang seperti Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan pusat data, kecerdasan buatan, agenda keselamatan makanan dan Tahun Melawat Johor 2026.
Sementara itu, pembangkang berpendapat kemakmuran ekonomi negeri belum sepenuhnya dirasai rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata walaupun pertumbuhan negeri berada pada tahap tertinggi, banyak keluarga masih berdepan tekanan kos hidup dan kekurangan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Bantuan tunai semasa hanya bersifat sementara dan dasar pemerkasaan seperti latihan kemahiran serta peluang industri yang lebih luas perlu diperkukuh,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ketelusan perbelanjaan negeri dan tumpuan seimbang kepada pembangunan luar bandar perlu diberi perhatian agar kemajuan yang dikecapi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg