Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) akan diperluas ke lebih banyak kawasan perumahan kos rendah di negeri itu dalam usaha meningkatkan mutu kehidupan masyarakat bandar, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata penekanan utama program itu ialah untuk memperkukuh kesejahteraan isi rumah, memperbaiki suasana kediaman, serta membina budaya masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera dalam kawasan perumahan berstrata.
Perkara tersebut dipersembahkan oleh Datuk Onn Hafiz kepada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, dalam sesi mengadap di Istana Bukit Serene, pada 10 November.
Program BJB merupakan ilham Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Raja Permaisuri Agong, yang berada di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kerajaan Johor.
Sejak dilaksanakan sebagai projek masyarakat perintis di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai (BJB 1.0) pada 2019, program itu diperluas ke Flat Plentong Utama (BJB 2.0) pada 2025.
Kini, Kerajaan Johor merancang melaksanakan BJB 3.0 di Flat Larkin, Johor Bahru dan Flat Temenggong, Kulai, melalui kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Kulai dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).
Pelaksanaan siri ketiga program itu akan memberi tumpuan kepada peningkatan semangat masyarakat, pembangunan remaja, sokongan keluarga, pengukuhan peluang sosioekonomi dan penerapan identiti setempat yang inklusif.
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Onn Hafiz turut menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) 2025 bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara serta bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Simpang Renggam.
Beliau berkata majlis berkenaan bukan sekadar penyampaian bantuan, tetapi lambang penghargaan Kerajaan Johor terhadap jasa dan pengorbanan mereka yang pernah berkhidmat mempertahankan keamanan negeri dan negara.
Beliau turut menyantuni penduduk setempat melalui Program Bantuan Barang Dapur Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di kawasan sama.
“Saya sedar bantuan ini mungkin tidak besar, namun ia tetap menjadi ikhtiar bersama untuk meringankan beban rakyat yang memerlukan. Semoga ia menyuntik semangat memperkukuh budaya ihsan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Datuk Onn Hafiz menegaskan bahawa agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan terus menjadi tunjang kepada pembangunan negeri Johor.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg