Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belanjawan Johor 2026: Pendidikan dan penerangan jadi tumpuan

Sep 1, 2025 | 4:03 PM
Belanjawan Johor 2026, pendidikan, penerangan, kerjasama rentas portfolio
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah), bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin (kanan), dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah (kiri). - Foto FACEBOOK AZNAN TAMIN

Pendekatan kerjasama strategik rentas portfolio menjadi antara tumpuan utama dalam sesi, Budget Challenge, Belanjawan Johor 2026 bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, berkata sesi itu penting dalam memastikan setiap program bukan sahaja menyentuh aspek pendidikan dan penerangan, malah menyumbang kepada pembangunan menyeluruh negeri.

“Dalam perbincangan ini, beberapa inisiatif turut diperhalusi semula agar lebih berimpak besar kepada Bangsa Johor.

“Sesi ini juga penting sebagai ruang perbincangan dan penyelarasan hala tuju perbelanjaan negeri khususnya dalam memastikan manfaat sampai kepada kumpulan sasar seperti sekolah, guru, murid serta mahasiswa Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 September.

Beliau menambah, perbincangan itu turut dilaksanakan bagi menyelaras bantuan persekolahan, program pendidikan serta pembangunan sekolah secara menyeluruh di Johor, bagi memastikan tiada pelajar, ibu bapa dan guru yang tercicir daripada perhatian kerajaan negeri.

“Kita juga mahu memantapkan lagi sistem pengurusan sekolah-sekolah di Johor,” katanya.

Encik Aznan turut menghargai keprihatinan Menteri Besar yang sentiasa memberi ruang untuk pembentangan cadangan penting demi kesejahteraan rakyat.

“Komitmen beliau jelas menunjukkan bajet negeri disusun dengan berorientasikan rakyat,” tambahnya.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah.

Sementara itu, Encik Aznan memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek, di Parlimen pada 28 Ogos.

Perbincangan itu menyentuh isu pembangunan pendidikan Johor termasuk perkembangan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) serta status projek di bawah Rancangan Malaysia (RMK).

“Perancangan bajet pendidikan bagi tahun 2026 turut dibincangkan bagi memastikan pembangunan pendidikan Johor terus dipacu dengan baik.

“Kami juga memberi fokus kepada perkembangan Kempen Anti-Buli di Johor dengan membawa beberapa cadangan agar ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat, harmoni dan kondusif,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan dan pihak KPM atas keterbukaan serta kerjasama erat yang diberikan.

“Semoga hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Johor terus diperkukuh demi menjamin pendidikan bermutu, progresif dan menyeluruh untuk seluruh anak Bangsa Johor,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg