Belia Johor digesa rebut peluang ekonomi JS-SEZ
Anak muda Johor digesa memanfaatkan peluang pembangunan ekonomi negeri termasuk melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan bermutu tinggi pada masa hadapan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata penyertaan hampir 1,500 belia dari pelbagai daerah, pertubuhan dan latar belakang dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Belia Negeri Johor mencerminkan semangat kebersamaan serta iltizam generasi muda dalam menyumbang kepada pembangunan negeri.
Beliau berkata penglibatan aktif golongan muda penting bagi memastikan Johor terus bergerak maju dan pembangunan negeri memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor.
“Tenaga, idea dan kepimpinan anak muda amat penting dalam memastikan Johor terus melangkah maju serta membawa manfaat kepada seluruh Bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 Mac.
Menurutnya, perkembangan ekonomi negeri serta pembangunan strategik seperti JS-SEZ membuka ruang lebih luas kepada golongan belia untuk membina kerjaya, meningkatkan kemahiran dan meneroka peluang keusahawanan dalam pelbagai sektor baru yang sedang berkembang pesat.
Dalam era digital masa kini, Datuk Onn Hafiz, menambah, peranan belia juga semakin penting sebagai penggerak maklumat dan ejen perubahan masyarakat.
Beliau berkata golongan itu boleh memainkan peranan membantu menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat selain menghubungkan rakyat dengan pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Semoga kebersamaan dalam bulan Ramadan ini terus menyemarakkan semangat Orang Muda Johor agar bangkit, menyumbang bakti dan memanfaatkan peluang yang tersedia dalam usaha membina Johor yang lebih maju, makmur dan berdaya saing,” katanya.
Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut memperuntuk RM12.3 juta ($3.9 juta) bagi menyokong pembangunan serta kesejahteraan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri itu.
Beliau berkata peruntukan itu diumumkan dalam satu majlis berbuka puasa bersama penduduk Felda yang menghimpunkan hampir 1,500 peserta terdiri daripada ketua blok, kepimpinan rancangan, wakil agensi serta pemimpin masyarakat Felda dari seluruh Johor.
Antara inisiatif diumumkan ialah Geran Aidilfitri sebanyak RM5,000 kepada setiap 73 rancangan Felda bagi menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat rancangan.
Kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan RM10,000 kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) serta RM5,000 kepada setiap Gerakan Persatuan Wanita (GPW) di semua rancangan Felda di Johor.
Selain itu, bantuan bakul makanan akan diberikan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang menetap di rancangan Felda serta kakitangan Felda di negeri itu.
Kerajaan negeri juga menyediakan geran RM7,500 kepada setiap Pejabat Rancangan Felda serta peruntukan RM200,000 kepada Sekretariat Muafakat Felda Negeri Johor.
Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut meneruskan kuota khas haji kepada 10 warga Felda selain menyediakan kuota khas pinjaman pendidikan tanpa faedah Yayasan Pelajar Johor (YPJ) kepada 50 anak muda Felda untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Beliau berharap inisiatif tersebut dapat terus memperkukuh kebajikan masyarakat peneroka serta mengukuhkan peranan kepimpinan Felda di peringkat akar umbi dalam menyelaras pembangunan masyarakat setempat.

