Johor perlu kekalkan kestabilan seperti S’pura untuk tarik pelaburan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor perlu kekalkan kestabilan seperti S’pura untuk tarik pelaburan

Onn Hafiz yakin hasil negeri mampu lepasi RM3 bilion tahun 2026
Mar 4, 2026 | 2:26 PM

Johor perlu kekalkan kestabilan seperti S’pura untuk tarik pelaburan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah, berbaju putih), bergambar bersama pengamal-pengamal media negeri Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah, berbaju putih), bergambar bersama pengamal-pengamal media negeri Johor. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

Johor perlu meneladani kestabilan ekonomi dan politik Singapura jika mahu terus menjadi magnet pelaburan dan menjamin pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan, tegas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau menjelaskan, kestabilan adalah kunci utama kejayaan republik itu menarik pelabur global, meskipun kos operasinya jauh lebih tinggi.

Pelabur, katanya, tidak sekadar melihat kos atau insentif, sebaliknya menimbang kestabilan sesebuah negara atau negeri sebelum membuat keputusan pelaburan.

“Saya telah mengkaji bagaimana Singapura berjaya menarik begitu banyak pelabur. Salah satu faktor paling penting ialah kestabilan.

“Jika tiada kestabilan, walaupun kos menjalankan perniagaan murah dan insentif hebat, pelabur tidak akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor bersama pengamal media di Saujana, kediaman rasmi Menteri Besar Johor pada 3 Mac.

Datuk Onn Hafiz menambah, Johor kini di landasan kukuh, dibuktikan dengan peningkatan hasil negeri yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Unjuran hasil negeri dalam Belanjawan Johor pada 2025 dianggarkan sekitar RM2 bilion ($650 juta), namun pencapaian sebenar pada 2025 mencecah kira-kira RM2.6 bilion.

Beliau yakin dengan pertumbuhan momentum ekonomi semasa berupaya melonjakkan hasil negeri melepasi RM3 bilion menjelang akhir 2026, mengatasi sasaran awal RM2.7 bilion.

“Dua bulan pertama tahun ini kita telah mendapat hasil lebih kurang RM600 juta. Kalau trajektori ini berterusan dan hasil bulanan mampu mencapai sekitar RM300 juta, tidak mustahil kita boleh melepasi RM3 bilion pada hujung tahun,” katanya.

Peningkatan hasil negeri itu akan disalurkan kembali kepada rakyat Johor melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan bantuan.

Kerajaan negeri, katanya, komited meningkatkan bantuan kepada golongan memerlukan, termasuk pengamal media, seiring kedudukan kewangan negeri yang bertambah baik.

Datuk Onn Hafiz turut mengingatkan rakyat Johor agar sentiasa waspada, tidak mudah terpengaruh dengan fitnah atau maklumat palsu di media sosial.

Beliau mencontohkan maklumat palsu bantuan kerajaan yang tular di TikTok, yang sebenarnya diuruskan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu orang ramai.

Sindiket terbabit, jelasnya, menggunakan tipuan ini untuk mendapatkan maklumat peribadi dan akaun bank.

“Ini tugas kita bersama untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak mudah percaya kepada maklumat yang tidak sahih,” katanya.

Beliau juga menjamin kebajikan rakyat akan terus dijaga, termasuk isu tanah di Kampung Melayu Majidee, yang akan ditangani teliti oleh kerajaan negeri.

Datuk Onn Hafiz menambah, setiap keputusan tanah dibuat melalui prosedur jelas di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg