Johor bina hab pengurusan sisa industri moden pertama bernilai RM310j
Johor bina hab pengurusan sisa industri moden pertama bernilai RM310j
Projek bernilai RM310j di kawasan seluas 86.7 ekar akan jadi tunjang utama pengurusan sisa domestik dan industri negeri
Johor bakal memiliki Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Pelupusan Buangan Terjadual (JISWH) yang pertama, sebuah sistem pengurusan sisa industri moden yang memperkukuh komitmen negeri terhadap pembangunan mampan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek bernilai RM310 juta ($100 juta) di kawasan seluas 86.7 ekar itu akan menjadi tunjang utama pengurusan sisa domestik dan industri negeri, khususnya dalam menyokong lebih 119 kawasan industri di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Johor kini membangunkan kemudahan pertama Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Pelupusan Buangan Terjadual yang bakal menjadi mercu tanda baru komitmen negeri dalam membina masa depan Johor yang lebih bersih, selamat dan lestari,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 Februari.
Projek ini, katanya, dimiliki Kitar Selatan Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh KPRJ Environment Sdn Bhd di bawah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dengan kerjasama strategik SJ Varied Sdn Bhd.
Kemudahan tersebut dijangka siap dan mula beroperasi pada Disember 2026.
“Kompleks pengurusan sisa moden ini menepati piawaian alam sekitar yang ketat serta mengaplikasikan pendekatan rawatan lebih cekap, terkawal dan selamat,” katanya.
Datuk Onn Hafiz berkata pusat itu merangkumi 10 fasiliti utama termasuk penyimpanan, rawatan efluen, rawatan termal, pemejalan, pemulihan minyak dan larut resapan, loji rawatan air permukaan serta tapak pelupusan yang selamat.
“Kesemua komponen ini memastikan setiap sisa industri dirawat mengikut jenis, tahap risiko dan impak alam sekitar sekali gus mengurangkan potensi pencemaran tanah, air dan udara,” katanya.
Beliau memberi amaran, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan alam sekitar.
“Pematuhan undang-undang alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas tanpa pengecualian,” katanya.
Projek ini, jelasnya, juga selari dengan agenda Johor Green Deal yang menekankan pembangunan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata JISWH mencerminkan komitmen serius kerajaan negeri dalam memastikan pengurusan sisa terjadual dilaksanakan secara tersusun dan selamat.
“Pelaksanaan JISWH merupakan langkah strategik dalam memperkukuh sistem pengurusan sisa industri secara bersepadu di negeri Johor. Ia bukan sekadar projek fizikal, tetapi usaha penting melindungi keselamatan awam, kesihatan masyarakat serta kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan ekonomi perlu bergerak seiring disiplin tadbir urus serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Johor bukan sahaja propelaburan, tetapi tegas memastikan setiap pembangunan mematuhi piawaian keselamatan dan kelestarian yang tinggi,” katanya.
Menurutnya, pengurusan buangan yang cekap dan berintegriti akan memberi kesan langsung kepada mutu hidup rakyat.
“Inisiatif ini sebahagian usaha memperkukuh perkhidmatan awam dan tadbir urus tempatan yang lebih mampan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan selamat,” katanya.

