Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelum pulih dari episod luka 2019, akhbar bahasa Melayu tertua di M’sia diuji lagi
Kakitangan ‘Utusan Malaysia’ dan ‘Kosmo!’ sedih, ada yang tertanya-tanya mengenai nasib mereka; nama sekitar 100 pekerja yang terjejas Program Cuti Berbayar hanya diketahui 4 Nov
Belum pulih dari episod luka 2019, akhbar bahasa Melayu tertua di M’sia diuji lagi
Tidak pernah terlintas dalam fikiran sebahagian wartawan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!, bahawa mereka sekali lagi berdepan situasi sukar seperti yang pernah berlaku pada 2019 apabila syarikat penerbitan akhbar itu, Media Mulia Sdn Bhd, bakal melaksanakan Program Cuti Berbayar.
Kebimbangan mengenai masa depan dan periuk nasi mereka kembali menyelubungi, menyusuli keputusan syarikat meletakkan 100 kakitangannya dalam Program Cuti Berbayar itu, yang menurut kakitangan petanda kemungkinan berlakunya pembuangan pekerja.
Bagi seorang wartawan yang pernah melalui krisis kewangan Utusan Malaysia dan Kosmo! pada 2019, perkembangan terbaharu itu mengundang kembali kenangan pahit, terutama apabila sebahagian tuntutan kewangannya daripada syarikat masih belum diselesaikan sehingga kini.
Beliau, yang enggan namanya disiarkan, berkata meskipun tunggakan gaji selama dua bulan sudah dibayar selepas penutupan akhbar terbabit pada 2019, sebahagian tuntutan perjalanan wartawan bernilai ribuan ringgit masih belum dilunaskan, walaupun syarikat sebelum ini berjanji menyelesaikan bayaran itu menjelang akhir 2026.
Wartawan itu yang sudah lebih 15 tahun berkhidmat dengan akhbar berkenaan turut menghadiri sesi pertemuan bersama pihak pengurusan pada 3 November di ibu pejabat Media Mulia di Petaling Jaya, Selangor.
Namun, beliau agak kecewa kerana belum jelas apa hala tuju syarikat terhadap masa depan wartawan yang dijangka terlibat dengan cuti berbayar itu.
“Walaupun mesyuarat bersama pihak pengurusan diadakan hari ini (3 November), senarai kakitangan yang terlibat dalam Program Cuti Berbayar itu hanya akan diketahui pada 4 November.
“Ketika sesi soal jawab berlangsung pada mesyuarat itu, saya akhirnya keluar daripada mesyuarat kerana terlalu sedih dan terkesan melihat keadaan rakan-rakan yang emosi dengan tindakan syarikat,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Mengulas perancangan selepas ini, beliau berkata masih belum mempunyai keputusan muktamad, namun sedang berusaha mengintai peluang pekerjaan lain.
Menurutnya, beliau buntu memikirkan nasib keluarga, khususnya lima anak yang masih bersekolah, malah ada yang bakal menduduki peperiksaan besar, namun enggan terlalu tertekan.
Seorang lagi wartawan berkata kakitangan dimaklumkan menerusi sesi pertemuan bersama pengurusan bahawa surat rasmi berhubung penempatan mereka akan dikeluarkan pada 4 November, dengan pelaksanaan cuti berbayar dijadualkan bermula pada 10 November.
Menurutnya tempoh cuti itu dimaklumkan dijangka berlangsung selama tiga bulan, sebelum syarikat menentukan sama ada kakitangan terbabit akan dipanggil kembali bertugas atau tidak.
Beliau berkata kakitangan yang kekal bekerja pula dijangka ditempatkan di pejabat baharu di sebuah syarikat media terkemuka di Bangsar, Kuala Lumpur, manakala tempoh cuti berbayar itu dilihat sebagai ruang untuk pihak pengurusan menilai keperluan dan kekuatan tenaga kerja selepas penstrukturan semula.
“Setakat yang dimaklumkan, selepas tempoh itu nanti, ada yang mungkin dipanggil semula dan ada yang tidak. Jadi, kami masih tertanya-tanya siapa yang akan kekal.
“Sebagai wartawan, kami sentiasa membuat laporan untuk membantu pelbagai pihak, termasuk parti politik. Namun, apabila nasib kami tidak menentu, sedih kerana tiada pihak yang menyatakan sokongan,” katanya kepada BH.
Seorang lagi kakitangan editorial di akhbar terbabit, berkata pada sesi penerangan yang dihadiri pada 3 November, syarikat difahamkan mahu mengekalkan sekitar 30 wartawan bagi Utusan Malaysia dan 30 lagi untuk Kosmo!.
Beliau turut memaklumkan kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo! dijangka berpindah ke premis baharu milik sebuah syarikat media, namun ruang pejabat berkenaan masih dalam proses pengubahsuaian.
Dalam pada itu, seorang lagi wartawan berkata antara perkara yang turut menimbulkan kebimbangan ialah kemungkinan penutupan biro negeri dan penyusunan semula rangkaian wartawan di luar Lembah Klang.
Katanya, terdapat perancangan untuk menggabungkan operasi biro dengan rangkaian sebuah syarikat media besar Malaysia, selain menggunakan khidmat wartawan sambilan atau stringer bagi liputan di negeri.
Beliau berkata langkah itu berpotensi mengubah struktur liputan sedia ada, memandangkan kededua jenama akhbar itu ketika ini mempunyai rangkaian wartawan sambilan di hampir setiap daerah di beberapa negeri.
“Perkara yang paling sukar ketika ini bukan sekadar kemungkinan kehilangan pekerjaan, tetapi ketidakpastian mengenai apa yang bakal berlaku selepas tempoh menunggu itu berakhir.
“Memang tak sangka akan sekali lagi melalui ‘episod ngeri’ ini. Ingatkan selepas 2019 kebimbangan kehilangan kerja ini sudah berakhir.
“Kami mencurahkan segalanya buat akhbar ini, tetapi akhirnya nasib kami dalam ketidaktentuan,” katanya yang sudah lebih 20 tahun berkhidmat dengan akhbar itu.
Pada 2 November lalu, Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Encik Abd Wahid Idris, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kira-kira 100 kakitangan syarikat itu, yang merupakan penerbit Utusan Malaysia dan Kosmo!, akan diletakkan dalam Program Cuti Berbayar.
Ia sebagai langkah rasionalisasi oleh Media Mulia yang sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan perniagaan dalam menghadapi cabaran industri media.
“Media Mulia ingin menegaskan langkah rasionalisasi ini akan terus mengekalkan identiti dan legasi jenama Utusan Malaysia serta Kosmo!,” katanya dalam laporan yang disiarkan media Malaysia.
Utusan Malaysia adalah antara akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia yang mula diterbitkan di Singapura pada 1939 oleh pelopor kewartawanan Melayu, Allahyarham Abdul Rahim Kajai, dan Allahyarham Yusof Ishak, yang kemudian menjadi Presiden pertama Singapura.
Manakala Kosmo! adalah akhbar versi tabloid yang mula diterbitkan pada 2004.
Kededua surat khabar ini diterbitkan oleh Kumpulan Utusan (Utusan Melayu (Malaysia) Berhad), sebelum ditutup pada Oktober 2019, berikutan masalah kewangan yang kritikal, terutama sejak kejatuhan Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Barisan Nasional-Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Syarikat itu mengalami kemerosotan jualan akhbar cetak, kejatuhan pendapatan iklan yang berterusan sejak beberapa tahun, selain jumlah hutang yang meningkat dan menyebabkan lebih 800 kakitangannya hilang pekerjaan ketika itu.
Utusan Malaysia dan Kosmo! kemudian diterbitkan semula pada Julai 2020 di bawah Media Mulia, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Melayu di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Seorang mantan Editor Kanan Utusan Malaysia yang mengasaskan dan menulis di sebuah portal berita, Encik Borhan Abu Samah, menyatakan kekecewaan terhadap peranan Umno – parti politik yang baginya mempunyai sejarah panjang dengan Utusan Malaysia dalam membantu kelangsungan akhbar kebanggaan Melayu itu.
“Saya tidak mengatakan semua masalah kewangan Utusan Malaysia berpunca daripada Umno semata-mata.
“Namun, hubungan sejarah dan pemilikan antara parti itu dengan Kumpulan Utusan menjadikan persoalan tanggungjawab Umno sesuatu yang tidak boleh diketepikan.
“Apa gunanya mendakwa memperjuangkan Melayu jika institusi akhbar Melayu sendiri tidak dapat diselamatkan dan pekerjanya dibiarkan berdepan kesusahan?” tulisnya di portal Suara Merdeka.
Bagaimanapun, Editor portal Edisi9 yang juga mantan Editor di Utusan Malaysia, Encik Lukman Ismail, dalam tulisannya di portal itu menyatakan rasa terkilan dengan serangan dibuat terhadap Umno, seolah-olah masalah dihadapi syarikat media terbabit kesalahan Umno.
Jelas beliau, penutupan Utusan Melayu dibuat selepas Umno melepaskan kesemua kepentingan dalam Utusan Malaysia pada 2018, selepas parti itu tidak lagi menjadi kerajaan dan mentadbir Putrajaya.
Manakala Umno juga katanya tidak mempunyai sebarang kepentingan secara langsung dalam Media Mulia yang bercadang untuk menstruktur semula syarikat.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Encik Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli, pula berkata perubahan dalam landskap media ketika ini menuntut penyesuaian menyeluruh, khususnya dari segi pengurusan dan kepimpinan organisasi, termasuk Utusan Malaysia dan Kosmo!.
Beliau berkata Utusan Malaysia sebagai antara entiti kewartawanan tertua di negara ini perlu mempunyai model perniagaan yang jelas dan mampan bagi menghadapi persaingan dalam ekonomi baharu, selain memastikan kelangsungan operasinya.
“Apabila kita bercakap mengenai Utusan Malaysia, ia bukan sekadar tanggungjawab Media Mulia, sebaliknya tanggungjawab semua pihak, khususnya masyarakat Melayu untuk menyokong kewujudan dan kelangsungan akhbar berbahasa Melayu,” katanya kepada BH.
Encik Mohd Amirul berkata Utusan Malaysia mempunyai sejarah penting dalam menyampaikan maklumat dan membentuk kesedaran masyarakat Melayu, justeru usaha mempertahankannya sebagai wadah suara masyarakat itu tidak seharusnya dilihat sebagai sentimen semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan bersama pelbagai pihak.
Cabaran organisasi media seperti dialami Utusan Malaysia dan Kosmo! ketika ini hadir hanya beberapa hari selepas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengingatkan syarikat media yang menerima Dana Inovasi Media 2.0 melibatkan peruntukan RM30 juta ($9.41 juta) disyaratkan tidak membuang pekerja dengan sewenang-wenangnya walaupun berdepan kekangan kewangan.
Beliau berkata mana-mana organisasi media yang berdepan masalah operasi dan kewangan diminta tampil berbincang dengan Kementerian bagi meneliti bantuan yang boleh diberikan dengan sedaya upaya.
“Kalau ada mana-mana syarikat media yang berhadapan dengan apa pun masalah, maklumkan kepada saya supaya kita nak pastikan tidak berlaku satu keadaan di mana pekerja media berdepan dengan kesukaran atau kesusahan sebab dilepaskan.
“Saya tidak mahu, kalau boleh, tidak ada seorang pun (diberhentikan)... kalau ada masalah disiplin, itu perkara lain, tetapi kalau masalah kewangan, kita akan cuba bantu dengan sedaya upaya kita,” katanya lapor media Malaysia.
Industri akhbar Malaysia terus mengalami kemerosotan dalam jumlah edaran akhbar cetak dan penjanaan iklan, terutama sejak era media digital semakin menguasai.
Tinjauan BH di beberapa premis menjual surat khabar di sekitar Selangor mendapati setiap premis hanya mengambil sekitar tiga hingga dua naskhah untuk setiap akhbar yang dijual, dengan pada kebanyakan hari akhbar tidak terjual.
“Selalunya jumlah yang sama kita pulangkan kembali kepada syarikat akhbar kerana surat khabar tidak terjual,” kata pekerja di sebuah kedai serbaneka di Petaling Jaya, Encik Syazwan Yazid.
Sementara itu, aktivis media, Encik Radzi Razak, ketika dihubungi BH, berkata wartawan merupakan tunjang penting kepada sesebuah organisasi media dan tanpa mereka, syarikat tidak akan dapat berfungsi sebagai wadah wacana yang berkesan.
Beliau berkata sekiranya penstrukturan semula operasi tidak dapat dielakkan, pihak pengurusan perlu bertindak secara telus tanpa menyembunyikan maklumat, selain memastikan kebajikan kakitangan yang terjejas terus terbela.
“Peringatan ini selari dengan seruan Datuk Fahmi supaya syarikat media mengutamakan kebajikan pekerja, termasuk memberikan penjelasan sewajarnya, tidak membiarkan kakitangan terus berada dalam keadaan tidak menentu dan pampasan yang setimpal,” katanya.