Topik diikuti
Pergi ke BHkuBenarkah harga emas lebih murah di N. Sembilan?
Kos upah rendah jaya tarik pelanggan tempatan, luar negara; rekaan serupa disebabkan daripada pembekal yang sama
Dari seberang Tambak hingga ke Kuala Pilah, harga emas yang dikatakan antara termurah menjadi tarikan yang membawa sebahagian pembeli Singapura ke Negeri Sembilan.
Buat sesetengah daripada mereka, perjalanan ke negeri itu bukan sekadar untuk menikmati menu masakan lemak cili api yang sinonim dengan negeri Adat Perpatih itu atau meneroka tempat baharu.
Ada yang datang dengan satu tujuan yang lebih berkilau – mencari barang kemas pada harga yang menarik dan lebih berpatutan.
Bagi pencinta koleksi barang kemas yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Anabila, 36 tahun, pencarian emas dari Singapura bermula dengan kunjungan ke sebuah kedai emas di daerah Kuala Pilah, atas saranan seorang rakan di Malaysia.
Kunjungan pertama kali ke pekan kecil itu beberapa tahun lalu kemudian menjadikan beliau pelanggan setia Kedai Emas Nur Jannah, yang baginya menawarkan rekaan perhiasan emas yang moden, terkini dan menarik buat golongan wanita.
“Saya pernah datang sekali ke kedai emas itu dan kemudian beberapa kali membeli secara dalam talian kerana penjualnya kerap membuat promosi di TikTok.
“Sejak itu saya mempercayai kedai emas ini dan membuat beberapa pembelian dari Singapura, sebelum barang kemas itu dihantar ke alamat rumah saudara mara saya di Johor Bahru untuk diambil kemudian,” kongsinya.
Selain Kuala Pilah, satu lagi daerah yang terkenal dengan tawaran harga emas yang dikatakan lebih murah daripada tempat lain di Negeri Sembilan ialah Port Dickson.
Pengalaman Cik Anabila mencerminkan bagaimana kedai emas di Kuala Pilah dan Port Dickson bukan sahaja menarik pelanggan dari pelbagai negeri di Malaysia, malah turut mendapat perhatian pembeli dari seberang Tambak.
Pengurus Kanan Kedai Emas Nur Jannah, Kuala Pilah, Cik Noorhasliza Abd Rahman, berkata pihaknya banyak menerima pelanggan yang membuat pembelian berulang dari seluruh negara, malahan dari sejauh Singapura dan beberapa negara luar lain.
Menurutnya, rata-rata mereka memperkatakan tentang harga emas di beberapa kedai di Kuala Pilah lebih murah berbanding di Kuala Lumpur khususnya.
“Ini maklum balas yang kami terima daripada pelanggan termasuk dari Singapura.
“Bagi pelanggan yang sudah biasa termasuk dari Singapura, mereka tidak kisah membeli barang kemas menggunakan khidmat kurier, malah menurut mereka ia lebih menjimatkan, walaupun diakui sedikit berisiko jika hilang,” katanya.
Beliau berkata beberapa faktor yang mungkin menyebabkan harga emas di Kuala Pilah lebih murah berbanding tempat lain terutama Kuala Lumpur ialah kos upah yang lebih rendah; kos operasi termasuk sewaan kedai yang lebih kompetitif; reka bentuk barangan kemas yang lebih ringkas dan margin keuntungan kecil yang dikompromi oleh peniaga kerana faktor persaingan sengit.
Kos upah merujuk kepada upah rekaan di peringkat kilang, di mana ia dikenakan bagi menampung kerugian kehilangan sejumlah berat emas yang terurai ketika proses pembuatan barangan kemas seperti gelang, rantai leher, cincin dan anting-anting.
Menurut Cik Noorhasliza yang sudah bekerja selama 13 tahun dengan jenama itu, Kedai Emas Nur Jannah mendapatkan bekalan daripada beberapa kilang pengeluar emas sekitar Malaysia termasuk dari Johor, Pulau Pinang dan Lembah Klang.
“Selalunya kilang akan keluarkan rekaan emas itu dan hantar pada kami. Jika kami rasa rekaan itu boleh dijual dan permintaan tinggi, kami akan memilihnya untuk dijual.
“Sebagai kedai menjual emas, kalau kami hantar rekaan tertentu pada kilang, harganya sudah lain dan jauh lebih mahal.
“Sebab kebiasaannya acuan untuk membentuk sesuatu rekaan itu dibuat oleh kilang yang mengeluarkan rekaan sama dalam jumlah yang banyak.
“Untuk Kedai Emas Nur Jannah, kami menerima stok barang kemas baharu pada setiap minggu.
“Justeru, ia memberikan pelanggan lebih banyak pilihan untuk membuat pembelian dan merupakan salah satu tarikan kedai kami,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Tambah beliau rata-rata peniaga emas di Kuala Pilah juga tidak terikat dengan mana-mana persatuan penjual emas, sekali gus membolehkan mereka menetapkan harga jualan dan kos upah yang lebih rendah berbanding pasaran luar.
Ia berbeza dengan kedai emas berjenama besar yang kebanyakannya menyertai persatuan emas, dan mementingkan mutu rekaan lebih eksklusif, kekemasan dan ketelitian dalam penghasilan barangan kemas yang lazimnya dijual pada harga lebih tinggi.
Encik Izzat Iskandar Halim, 25 tahun, yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan, tidak menafikan harga emas di Kuala Pilah yang juga kampung halamannya lebih murah berbanding tempat lain.
“Hari ini saya bantu kakak untuk tukar beli cincin kepada gelang tangan.
“Memang keluarga saya lebih suka membeli emas di Kuala Pilah kerana rekaan pun terkini dan harga lebih murah sekitar 20 peratus daripada kedai lain.
“Kalau hendak dibandingkan dengan kedai berjenama seperti Habib Jewels, Tomei atau Poh Kong, mungkin rekaannya lebih menarik, namun harganya juga berbeza agak jauh,” katanya kepada BH.
Pengacara dan personaliti media sosial, Uyaina Arshad, antara yang turut tidak melepaskan peluang ke Kuala Pilah untuk memburu emas yang dikatakan murah.
Dalam perkongsian di media sosialnya pada Disember 2025, Uyaina yang sering berkongsi mengenai emas berkata ternyata cakap-cakap bahawa emas murah di Kuala Pilah bukan satu dongengan.
“Saya masuk ke lapan kedai tadi, buat tinjauan di setiap satu kedai, tengok harga emas, tengok harga upah, tengok rekaan dan bandingkan. Kesimpulannya sangat berbaloi,” katanya di TikTok.
Dalam tinjauan BH ke Port Dickson pula, agak mengejutkan apabila harga emas di bandar pelancongan yang terkenal dengan tarikan pantai itu didapati lebih murah.
Ketika tinjauan dilakukan pada akhir Julai, harga emas di beberapa kedai di Port Dickson adalah sekitar RM495/gram ($155.39), berbanding sekitar RM520 di beberapa kedai di Kuala Pilah, dan sekitar RM525/gram pada 9 Ogos berbanding sekitar RM545/gram di Kuala Pilah.
Malah kadar harga itu jauh lebih rendah daripada harga pasaran di rangkaian kedai emas berjenama dan terkemuka pada sekitar RM600 hingga RM640/gram bagi emas 916.
Harga emas semasa berubah-ubah mengikut harga emas dunia.
Pengurus Kedai Emas Yong Li Seng iaitu antara kedai emas popular di Port Dickson, Cik Siow Hui, memberi jaminan bahawa kadar upah rendah membolehkan kedai emas di situ menawarkan harga jualan emas 916 lebih rendah berbanding tempat lain.
“Anda boleh tinjau di kedai lain dan buat perbandingan harga.
“Kami tak ambil untung banyak dan masih boleh tawar menawar harga,” katanya kepada BH sambil menambah turut menerima ramai pelanggan dari Singapura dan serata Malaysia.
Namun, satu perkara yang diperhatikan, rekaan barangan kemas antara kedai tidak banyak perbezaan dan hampir serupa kerana dikatakan datang daripada pembekal yang kebanyakannya sama.
Pelanggan kedai emas itu, Cik M Shamala, 35 tahun, dari Kajang, Selangor, tidak pernah bertukar tempat untuk membeli emas selepas membuat pembelian pertama di kedai berkenaan pada 2021.
Menurutnya, sejak diperkenalkan oleh abang iparnya yang tinggal di Port Dickson lima tahun lalu, bandar itu menjadi pilihan untuk beliau membeli emas, malah katanya kelebihan tawar menawar membuatkan beliau setia membeli emas di Port Dickson.
“Selain harga yang sangat munasabah berbanding tempat lain tanpa berkompromi soal mutu emas, saya gemar membeli di sini kerana kita masih boleh tawar menawar dan mendapat harga diingini.
“Kedai ini juga menawarkan khidmat bayaran bulanan di mana kita boleh lock (kunci) harga emas mengikut harga semasa.
“Katakan pada Julai kita lock dengan harga RM500/gram, dan jika pada September harga emas meningkat, kita masih bayar bulanan mengikut harga emas pada Julai.
“Namun, pelanggan akan dikenakan sedikit caj simpanan,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Cik Norsila Akim, 61 tahun, sudah 20 tahun menjadi pelanggan setia Kedai Emas Jin Wei di Port Dickson.
“Daripada saya, anak, menantu hingga cucu, semua beli barang kemas di sini kerana harga di Port Dickson antara termurah yang pernah kami tinjau. Dari segi mutu dan rekaan juga puas hati,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perhiasan Emas India Malaysia (MIGJA), Datuk Abdul Rasull Abdul Razak, mengakui kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan lebih 4,000 pengusaha kedai emas di Malaysia tidak berpersatuan.
Beliau yang tidak menafikan kos upah boleh menjadi faktor harga emas di sesebuah kedai lebih murah, berkata penyertaan dalam persatuan kini semakin penting memandangkan emas bukan lagi sekadar aksesori, sebaliknya semakin dilihat sebagai aset dan instrumen pelaburan.
“Emas sekarang sudah menjadi satu aset, bukan lagi benda kecil. Ia sudah menjadi satu instrumen, jadi kita perlu persatuan untuk mengambil tindakan dan memastikan peniaga berdaftar.
“Persatuan boleh mengenali peniaga, dan ada kawalan dari segi perkara yang baik atau tidak baik,” katanya.
Menurutnya, harga emas yang lebih rendah di sesetengah kedai emas tidak seharusnya menjadi satu-satunya pertimbangan pembeli ketika membuat pembelian.
Bagi Datuk Abdul Rasull, keahlian dalam persatuan penting kerana ia membolehkan persatuan memantau serta mengambil tindakan terhadap ahli sekiranya berlaku masalah melibatkan pengguna.
“Contohnya, kalau ahli persatuan menjual emas 916 tetapi pelanggan ada masalah dengannya, mereka boleh hubungi persatuan dan membuat laporan.
“Tetapi kalau membeli daripada peniaga yang tidak menyertai persatuan, pengguna mungkin tidak mempunyai saluran yang sama untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
“
“Hari ini saya bantu kakak untuk tukar beli cincin kepada gelang tangan. Memang keluarga saya lebih suka membeli emas di Kuala Pilah kerana rekaan pun terkini dan harga lebih murah sekitar 20 peratus daripada kedai lain.”“
“Sebagai kedai menjual emas, kalau kami hantar rekaan tertentu pada kilang, harganya sudah lain dan jauh lebih mahal. Sebab kebiasaannya acuan untuk membentuk sesuatu rekaan itu dibuat oleh kilang yang mengeluarkan rekaan sama dalam jumlah yang banyak.”