Topik diikuti
Pergi ke BHkuSediakan bekal sebelum bersara
Kajian DBS sarankan pesara perlu wang simpanan $550,000-$1.3j bergantung kepada gaya hidup
Sediakan bekal sebelum bersara
Sudahkah anda bersedia untuk bersara?
Sama ada anda hampir mencapai usia persaraan, atau anda masih muda, sebagai pekerja, kita akan sampai di perhentian apabila kita akan bersara selepas bertahun-tahun lamanya bekerja.
Hanya waktu yang akan membezakan bila kita akan memasuki alam persaraan itu.
Ada yang tinggal lagi beberapa tahun bekerja sebelum bersara, tetapi ada pula yang masih jauh lagi usia persaraannya.
Namun, tidak kira muda atau tua, kita harus bersedia menghadapi dunia persaraan.
Ini kerana, bagi sesetengah kita, tahun-tahun persaraan itu mungkin panjang kerana ramai dijangka hidup lebih lama.
Justeru, kita memerlukan bekalan kewangan yang mencukupi untuk meniti hari-hari tersebut.
Hatta bekalan itu perlu dipersiapkan seawal mungkin supaya kita dapat bersara dengan selesa, sejahtera dan terjamin.
Namun berapa banyak wang simpanan yang harus kita sediakan untuk membiayai kehidupan persaraan itu?
Menurut kajian DBS bertajuk, ‘Life After Work’, atau ‘Kehidupan Selepas Bekerja’, yang dikeluarkan pada 12 Februari, ia bergantung kepada keperluan dan gaya hidup seseorang pesara.
Secara khusus, kajian itu menyarankan wang simpanan persaraan antara $550,000 dengan $1.3 juta.
Jumlah ini merangkumi aset cair, dana Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan sumber pendapatan lain.
Ia mengandaikan pesara menggunakan bekalan wang itu selama tempoh 20 tahun, bermula daripada usia 65 tahun.
Jumlah tersebut juga berdasarkan Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah 2023 dan mengandaikan kadar inflasi 2.5 peratus.
Menurut laporan DBS itu, seorang pesara ‘konservatif’ berusia 65 tahun memerlukan wang simpanan sekurang-kurangnya $550,000 menjelang 2030.
Namun bagi mereka yang mempunyai lebih banyak “keinginan aspirasi” seperti melancong atau berkecimpung dalam hobi yang digemari, mereka perlu mengumpul dana sehingga $1.3 juta.
Apakah kita mampu menabung wang sebanyak itu?
Berikut saya ketengahkan ringkasan saranan dan dapatan lain kajian itu yang memungkinkan kita mencapai sasaran tersebut.
Menurut DBS, pesara juga perlu mengambil berat terhadap kos-kos ‘lekit’ seperti kos penjagaan kesihatan dan insurans.
Meskipun perbelanjaan median pesara akan berkurangan 62 peratus, dan sebahagian besar pesara pula mungkin sudah melunaskan pinjaman rumah mereka, namun mereka masih perlu memperuntukkan bajet bagi kos-kos tersebut.
Dana CPF pula harus menjadi asas perancangan persaraan bagi kebanyakan warga Singapura.
Ini bermakna, bayaran median daripada dana tersebut seharusnya mampu menampung lebih separuh perbelanjaan pesara.
Namun bergantung hanya kepada dana CPF mungkin tidak mencukupi khususnya bagi mereka yang beraspirasi tinggi, walaupun skim anuiti CPF LIFE seharusnya menjadi asas penting bagi pendapatan golongan pesara.
Oleh itu DBS mengusulkan supaya golongan ini memanfaatkan wang CPF mereka dengan membuat tokokan kepada Jumlah Persaraan Penuh (FRS) atau Jumlah Persaraan Dipertingkat (ERS), atau menyertai Skim Pelaburan CPF (CPFIS).
Satu lagi saranan DBS adalah supaya kita membina beberapa aliran pendapatan pasif bagi membiayai kehidupan persaraan, misalnya pendapatan daripada pelaburan dan insurans anuiti.
Atau kita boleh menimbangkan untuk melabur dalam ekuiti yang memberi pulangan tinggi, selain memanfaatkan hartanah kita dengan menyewakan bilik bagi mendapatkan pendapatan melalui sewa.
Di samping itu, DBS turut mencadangkan golongan pesara supaya menyertai Skim Beli Balik Pajakan (LBS).
Pendapatan pasif ini diharap dapat membantu dalam perbelanjaan persaraan agar ia lebih mampan.
Bercakap mengenai hartanah, DBS mendapati majoriti (99.7 peratus) pelanggannya yang sudah bersara mampu untuk memanfaatkan ‘emas yang tersembunyi’ dalam hartanahnya bagi meningkatkan tabung persaraan mereka.
Ini kerana menjelang usia 65 tahun kebanyakan warga Singapura didapati sudah berjaya melunaskan sepenuhnya pinjaman rumah mereka.
Kadar pemilikan rumah yang tinggi ini mampu menawarkan sumber potensi yang besar kepada pesara, kerana hartanah menyumbang 44 peratus kepada kekayaan isi rumah, kata DBS.
Dalam lain perkataan, pemilikan hartanah menawarkan fleksibiliti kepada pesara untuk menjana pendapatan pasif atau meneroka strategi pengewangan yang lain.
Hakikatnya, rakyat Singapura telah meraih manfaat daripada ledakan hartanah di kedua-dua pasaran awam dan privet sejak beberapa dekad lalu.
Justeru, potensi menjana keuntungan daripada pemilikan hartanah itu adalah besar.
Seperti yang disebutkan tadi, menerusi hartanah, pesara yang memerlukan wang boleh meneroka pilihan seperti LBS untuk meningkatkan dana persaraan mereka.
Bagi golongan muda pula, mereka mempunyai laluan landasan yang lebih panjang sebelum bersara.
DBS menyarankan agar mereka memperuntukkan sebahagian besar pelaburan dalam aset seperti ekuiti bagi menikmati potensi pulangan lebih tinggi.
Misalnya, analisis DBS mendapati anak muda yang berusia 25 tahun dan menetapkan sasaran untuk mempunyai dana persaraan antara $550,000 dengan $1 juta perlu melabur antara $360 dengan $850 sebulan, berdasarkan andaian pulangan 5 peratus setahun.
Jika mereka mahu bersara lebih awal pula, DBS mengusulkan supaya golongan ini membahagikan portfolio pelaburan mereka lebih kepada ekuiti.
Meskipun pelaburan ekuiti mungkin tidak menentu dan berisiko, tetapi pelaburan secara tekal dalam jangka panjang boleh mengurangkan risiko tersebut.
Akhir sekali, kita juga digalakkan supaya mengamalkan empat strategi ini:
- Menabung secara kerap;
- Dapatkan perlindungan untuk tampung kos perubatan dan kehilangan pendapatan;
- Melabur secara konsisten atau tekal; dan
- Jana aliran pendapatan pasif.
Menjalani kehidupan persaraan yang memuaskan dan sejahtera bergantung kepada diri kita sendiri.
Walaupun pemerintah komited membantu pesara dengan pelbagai bantuan, kita sendiri yang bertanggungjawab untuk menentukan arah perjalanan hidup di hari tua nanti.
Namun pelan persaraan merupakan satu maraton.
Justeru mulakan perancangan awal dan kembangkan wang simpanan anda secara mantap, daripada menunggu sehingga lewat dalam kehidupan.
Dengan semua perancangan yang diatur dengan teliti, semoga kita tidak akan ‘gigit jari’ di belakang hari.
