Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persiapan meriah jelang Ramadan di serata M’sia

Penduduk ambil peluang berpuasa bersama keluarga di kampung, masjid buat persediaan bagi kegiatan agama
Feb 23, 2025 | 5:30 AM
Dataran Putrajaya atau juga dipanggil Laman Berbuka Puasa akan dipenuhi pengunjung pada setiap kali Ramadan bagi merasai kemeriahan berbuka puasa di kawasan lapang beramai-ramai.
Dataran Putrajaya atau juga dipanggil Laman Berbuka Puasa akan dipenuhi pengunjung pada setiap kali Ramadan bagi merasai kemeriahan berbuka puasa di kawasan lapang beramai-ramai. - Foto PERBADANAN PUTRAJAYA

Kira-kira seminggu lagi, umat Islam bakal menyambut kehadiran Ramadan – bulan ibadah yang paling dinanti-nantikan untuk merebut ganjaran pahala berganda.

Sebagaimana kelaziman, pelbagai persiapan dan persediaan dibuat umat Islam di seluruh dunia untuk mengimarahkan bulan kesembilan dalam kalendar Islam ini.

Tidak terkecuali di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, sambutan Ramadan memiliki keistimewaan tersendiri yang dipengaruhi oleh budaya, tradisi serta kepelbagaian etnik dan diraikan penuh makna untuk merebut keberkatannya.

Menjadi kelaziman bagi umat Islam di Malaysia terutama yang tinggal di bandar pulang ke kampung halaman untuk berpuasa dan berbuka pada awal Ramadan bersama keluarga, terutama jika Ramadan pertama jatuh pada hujung minggu.

Di Malaysia, hanya negeri Johor dan Kedah mengisytiharkan awal Ramadan sebagai cuti umum.

Sepanjang Ramadan, masjid antara tempat yang paling menjadi tumpuan untuk umat Islam berbuka puasa, bertarawih, bersahur, malah beriktikaf dan mengikuti aktiviti serta kelas agama yang disediakan.

Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur, adalah antara masjid paling popular dan meriah dengan jemaah tidak kira yang datang daripada kawasan penempatan berhampiran, mahupun seluruh pelosok negeri, malah tidak terkecuali dari luar negara.

Saban tahun Masjid Jamek Kampung Baru menarik ribuan jemaah yang bukan saja menantikan sesi agihan bubur lambuk istimewa yang dimulakan sejak selepas solat Asar, tetapi juga untuk bersama-sama menanti waktu iftar.

Untuk 2025 ini, buat kali pertama Masjid Jamek Kampung Baru - iaitu antara masjid tertua di Malaysia - memperuntukkan perbelanjaan besar sejumlah RM1 juta ($301,904) untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur secara percuma, selain sumbangan kepada asnaf dan penyediaan bubur lambuk.

Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Mohd Khay Ibrahim, berkata untuk Ramadan 2025, pihaknya meningkatkan penyediaan menu berbuka buat 1,500 jemaah berbanding 1,000 pada 2024, selain 15 periuk bubur lambuk tradisi untuk diagihkan kepada lebih 10,000 orang.

“Alhamdulillah, Masjid Jamek Kampung Baru adalah antara masjid yang sentiasa menerima sumbangan korporat dan orang ramai dalam jumlah tinggi. Selain menambah jumlah pek makanan, kos bahan mentah juga semakin meningkat.

“Jadi hasil sumbangan ramai kita berjaya kumpul sehingga RM1 juta untuk menampung kos terbabit sepanjang Ramadan nanti,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Sepanjang Ramadan, kata Datuk Khay, suasana masjid yang dikelilingi bangunan pencakar langit dan terletak dalam perkampungan Melayu itu ‘hidup’ 24 jam, terutama pada sebelah malam, dengan pelbagai aktiviti agama seperti ceramah, tadarus, kelas pengajian al-Quran sehinggalah sesi moreh beramai-ramai.

Sepanjang bulan puasa juga, bazar akan tumbuh bagai cendawan selepas hujan di segenap negeri, membuatkan tekak yang haus dan perut yang lapar rambang mata memilih juadah untuk berbuka.

Bagi perantau di Kuala Lumpur, tentunya menu tradisi negeri akan menjadi pilihan.

Sebagai contoh warga Negeri Sembilan pasti mencari menu masak lemak cili api, penduduk pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan pula menginginkan nasi kerabu dan kuih akok, manakala mereka yang berasal dari utara seperti Kedah dan Pulau Pinang tidak melepaskan peluang mencari gulai kari.

Seorang perantau dari Kelantan yang bertugas di sebuah bank di Bangsar, Kuala Lumpur, Cik Rahayu Salleh, 45 tahun, berkata juadah wajib yang perlu tersedia di meja setiap kali berbuka puasa ialah kuih akok dan jala emas, menu tradisi penduduk pantai timur.

“Orang Kelantan memang terkenal dengan lidah manis, jadi memang suka manisan untuk berbuka puasa. Biasanya selepas menjamah kuih, kami akan solat berjemaah sebelum makan nasi atau hidangan berat.

“Kemudian bersama-sama ke masjid untuk solat berjemaah dan bertarawih,” katanya yang akan pulang berbuka puasa di Kota Bharu, Kelantan, pada penghujung Ramadan, sekali gus bercuti untuk menyambut Aidilfitri.

Ramai umat Islam di Malaysia gemar berbuka puasa dalam suasana santai dan lapang seperti di padang awam dan di tepi pantai.

Maka, beberapa lokasi menarik di seluruh Malaysia akan menjadi pilihan untuk berbuka puasa dalam suasana sebegitu.

Antaranya Dataran Putrajaya; Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu; Dataran Merdeka di Kuala Lumpur; Padang Majlis Bandaraya Kuantan di Pahang; dan Dataran Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor.

Ramai juga yang cenderung untuk berbelanja lebih dan membawa keluarga berbuka puasa di hotel dan restoran menikmati pelbagai peringkat harga bufet Ramadan yang ditawarkan.

Apa pun, sepanjang Ramadan nanti, umat Islam perlu beringat dalam berbelanja supaya tidak membazir wang mahupun makanan yang tidak habis dimakan kerana terpedaya dengan hawa nafsu membeli.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg