SHAH ALAM: Akibat berebut lokasi minta sedekah, seorang lelaki sanggup menikam pengemis lain sehingga mati di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, di sini pada 24 April.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Timbalan Pesuruhjaya Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek, 28 tahun, terdahulu dikatakan bertikam lidah dengan mangsa, 40 tahun, berkaitan isu lokasi meminta sedekah.
Beliau berkata suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam bahagian dada mangsa beberapa kali sehingga menyebabkan lelaki itu jatuh dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
“Sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat sebelum suspek ditahan jam 12.30 tengah hari di lokasi kejadian.
“Semakan mendapati suspek memiliki sembilan rekod jenayah lampau. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya.
Encik Mohd Iqbal berkata permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Shah Alam jam 10 pagi esok.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg