Topik diikuti
Pergi ke BHkuBermula dengan puding RM1, kini miliki kereta hasil jualan sendiri
Bermula dengan puding RM1, kini miliki kereta hasil jualan sendiri
Bermula dengan puding RM1, kini miliki kereta hasil jualan sendiri
Bermula dengan hanya menjual puding pada harga RM1 ($0.30) sebekas dari rumah, seorang usahawan muda kini mampu berbangga apabila berjaya membeli kereta sendiri hasil keuntungan perniagaan pencuci mulut yang diusahakannya.
Kejayaan dicapai Cik Siti Aisyah P Ramli, 26 tahun, dari Pasir Mas, Kelantan, itu menjadi detik paling bermakna dalam tahun pertama beliau menceburi dunia perniagaan, sekali gus membuktikan usaha gigih dan kesungguhan mampu mengubah kehidupan seseorang.
Menurut Cik Siti Aisyah, perniagaan puding yang pada awalnya dilakukan secara kecil-kecilan kini semakin mendapat sambutan apabila pelanggan mula mengulangi pesanan dan memperkenalkan produknya kepada orang lain.
“Pada awal perniagaan memang agak susah kerana saya masih mencari pelanggan dan memperkenalkan produk. Namun, sejak lima hingga enam bulan kebelakangan ini sambutan semakin baik dan tempahan diterima secara konsisten.
“Apabila sambutan pelanggan semakin meningkat, saya mula yakin untuk memiliki kereta sendiri bagi memudahkan urusan penghantaran puding serta membeli barangan keperluan perniagaan.
“Kereta itu dibeli secara pinjaman bank, tetapi wang deposit dan bayaran bulanan semuanya menggunakan hasil jualan puding,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata sebelum memulakan perniagaan puding, beliau pernah bekerja sebagai juruvideo dan pencipta kandungan di sebuah syarikat kosmetik selama kira-kira setahun.
Katanya, minat terhadap bidang makanan sebenarnya sudah bermula sejak di bangku sekolah lagi, selain aktif berkongsi video masakan di TikTok menerusi akaun ‘Sutunmasak’ yang pernah meraih sehingga sejuta tontonan.
Menurutnya, idea menghasilkan puding RM1 tercetus kerana mahu menyediakan pencuci mulut yang menarik, mudah dinikmati semua golongan dan dijual pada harga mampu milik.
“Saya mahu hasilkan pencuci mulut yang boleh dijadikan hadiah dan sesuai dimakan semua peringkat umur tanpa perlu berbelanja mahal.
“Pada mulanya saya agak ragu-ragu kerana ini kali pertama saya mencuba bidang perniagaan, namun ramai pelanggan tertarik kerana harga yang ditawarkan sangat berpatutan.
“Saya belajar membuat puding sendiri dengan melakukan banyak penelitian, membangunkan produk dan mengolah resipi mengikut cita rasa pelanggan. Saya juga mempelbagaikan perisa bagi menarik perhatian lebih ramai pembeli,” katanya.
Cik Siti Aisyah berkata beliau memulakan perniagaan itu dengan modal sekitar RM1,000 hingga RM1,500 bagi membeli bahan mentah dan peralatan asas.
Menurutnya, secara purata beliau mampu menjual antara 5,000 dengan 60,000 bekas puding sebulan bergantung kepada permintaan semasa.
Katanya, jualan biasanya meningkat ketika musim cuti sekolah, perayaan, kenduri, rumah terbuka dan pelbagai majlis keraian.
Pada masa sama, Cik Siti Aisyah percaya kejayaan dalam perniagaan bukan sahaja memerlukan kesabaran dan konsistensi, malah menjaga mutu produk juga menjadi faktor utama untuk memastikan pelanggan terus setia membeli.
