Topik diikuti
Pergi ke BHku4 sekeluarga maut nahas di Johor, penuntut uni di S’pura pandu laju direman
4 sekeluarga maut nahas di Johor, penuntut uni di S’pura pandu laju direman
4 sekeluarga maut nahas di Johor, penuntut uni di S’pura pandu laju direman
KLUANG: Tindakan dua beradik yang memandu kereta mewah dan memandu laju seperti berlumba di jalan raya telah menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa empat sekeluarga di Jalan Renggam-Kluang, Kluang, Johor, pada 1 Jun.
Berikutan kejadian itu, seorang daripada mereka iaitu remaja berusia 19 tahun yang juga penuntut sebuah universiti di Singapura direman dua hari hingga 3 Jun, dengan perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno pada 2 Jun.
Ketua Polis Daerah Kluang, Penolong Pesuruhjaya Bahrin Mohd Noh, berkata siasatan mendapati kereta jenis BMW 530e dipandu secara laju dan melulu oleh seorang lelaki berusia 22 tahun, dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.
Menurutnya kereta terbabit dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250 yang dipandu remaja lelaki yang juga adiknya berusia 19 tahun.
“Polis menerima laporan kemalangan pada 1.15 petang membabitkan lima kenderaan. Siasatan mendapati BMW 530e terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh empat kenderaan.
“BMW 530e itu merempuh empat kenderaan lain iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes Benz yang bergerak di laluan bertentangan. Selepas merempuh kenderaan terbabit, BMW 530e terbabas dan jatuh ke dalam gaung di seberang jalan.
“Akibat rempuhan itu, pemandu Toyota Vios iaitu lelaki berusia 36 tahun dan isterinya berusia 33 tahun meninggal dunia. Turut terbunuh wanita berusia 73 tahun dan kanak-kanak perempuan 10 tahun.
“Kesemua mereka meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Empat sekeluarga yang maut ialah Allahyarhamha Semek Mat Soh, 73 tahun; menantunya Allahyarham Aiman Mohd Rashid, 36 tahun dan anak Allahyarhamha Semek, Allahyarhamha Nor Azlina Abd Latip, 33 tahun, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10 tahun, yang juga anak saudara Allahyarham Aiman.
Ketika kejadian, keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Kota Tinggi, Johor, selepas menghadiri majlis tahlil dan doa selamat ahli keluarga di Melaka, pada 30 Mei lalu.
Keempat-empat jenazah dibawa pulang ke Dungun, Terengganu, untuk urusan pengebumian pada 2 Jun.
Dalam pada itu, Encik Bahrin berkata pemandu BMW 530e turut maut dalam nahas itu ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan.
Tambahnya, penumpang Perodua Alza iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 11 dan tujuh tahun cedera di kepala, kini menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
“Pemandunya pula lelaki berusia 43 tahun cedera di kaki. Pemandu Proton Wira, lelaki berusia 22 tahun cedera di mulut sementara wanita berusia 57 tahun yang juga pemandu Mercedes Benz cedera ringan,” katanya.
