Topik diikuti
Pergi ke BHkuBersama sah tanding 15 kerusi PRN Johor
Bersama sah tanding 15 kerusi PRN Johor
Calon parti akan diumumkan pada 26 Jun dalam majlis pelancaran yang dikenali sebagai ‘Trak Kancil’
Bersama sah tanding 15 kerusi PRN Johor
Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026, sekali gus menandakan kemunculan rasmi parti itu dalam gelanggang politik negeri menjelang hari penamaan calon pada 27 Jun.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan bersama yang ditandatangani pengasas parti berkenaan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, pada 22 Jun.
Menurut kenyataan itu, pemilihan 15 kerusi itu dibuat selepas parti berkenaan menjalankan kajian dan penilaian menyeluruh sejak enam bulan lalu.
Ia termasuk mengambil kira kecenderungan pengundi, perkembangan keahlian, kesesuaian calon serta kemampuan jentera pilihan raya di kawasan yang dikenal pasti.
Kerusi yang akan ditandingi Bersama ialah Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.
Daripada jumlah itu, lapan kerusi kini disandang Barisan Nasional (BN), lima oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP), satu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Bersama berkata calon yang bakal mewakili parti itu akan diumumkan pada 26 Jun dalam satu majlis pelancaran trak kempen yang dikenali sebagai ‘Trak Kancil’ di Johor Bahru.
“Kerusi yang dipilih dinilai berdasarkan dapatan kaji selidik dan data yang telah dijalankan sejak enam bulan lalu, selain mengambil kira sambutan terhadap Bersama, kesesuaian calon serta kemampuan parti mengendalikan kempen secara berkesan,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, parti berkenaan membuka pendaftaran kepada orang ramai untuk menyertai jentera kempen serta berkhidmat sebagai ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (Paca).
Menurut Bersama, sistem kempen bersepadu parti itu akan mula beroperasi pada 23 Jun bagi membolehkan ahli dan sukarelawan dari seluruh negara memilih kegiatan kempen yang ingin disertai mengikut lokasi, masa dan jenis program yang ditawarkan.
Parti itu turut menyatakan hasrat untuk memperkenalkan pendekatan kempen yang lebih moden dan berasaskan penyertaan sukarelawan, tanpa memerlukan perbelanjaan pilihan raya yang besar.
“Bersama berhasrat merintis kempen pilihan raya moden yang tidak memerlukan perbelanjaan besar dengan mengaktifkan seramai mungkin ahli dan orang ramai untuk membantu kempen secara sukarela,” menurut kenyataan tersebut.
Selain menyasarkan kemenangan di kerusi yang ditandingi, Bersama berkata penyertaan mereka dalam PRN Johor kali ini bertujuan membawa budaya politik yang lebih tertumpu kepada penyelesaian masalah rakyat serta perancangan masa depan negeri dan negara.
“Bagi Bersama, PRN Johor 2026 bukan sekadar medan merebut kerusi dan jawatan politik, tetapi peluang untuk merintis budaya politik yang lebih berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat dan masa depan negara,” kata kenyataan itu.
PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai depan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 27 Jun, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.
