Topik diikuti
Pergi ke BHkuRakyat Johor diseru beri mandat lebih besar kepada Onn Hafiz
Rakyat Johor diseru beri mandat lebih besar kepada Onn Hafiz
Rakyat Johor diseru beri mandat lebih besar kepada Onn Hafiz
Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menyeru rakyat Johor memberikan mandat yang lebih besar kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata Johor memerlukan kepimpinan yang stabil dan kukuh bagi meneruskan pelbagai perancangan yang sedang dilaksanakan demi manfaat rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
“Hari ini tumpuan kita ialah untuk Umno dan Barisan Nasional Johor. Saya melihat semangat yang cukup luar biasa untuk kita berhadapan dengan PRN tidak lama lagi.
“Ini satu petanda yang baik dan saya berharap semangat yang ditunjukkan hari ini dapat diterjemahkan di luar sana sehingga hari pembuangan undi nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 Jun.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional sempena PRN Johor.
Menurut beliau, kehadirannya pada program berkenaan adalah bagi menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan negeri yang diterajui Datuk Onn Hafiz.
Jelasnya, Menteri Besar telah berusaha sedaya upaya untuk membangunkan Johor dan menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Saya percaya dengan mandat yang lebih besar, segala yang telah diumumkan dan sedang dilaksanakan oleh Menteri Besar akan dapat berjalan dengan lebih lancar.
“Oleh itu, pilihan raya negeri kali ini penting untuk memastikan Datuk Onn Hafiz memperoleh mandat yang besar, bukan untuk dirinya atau jawatannya, tetapi demi negeri Johor dan rakyat Johor,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Hishammuddin turut menyifatkan semangat yang ditunjukkan jentera Barisan Nasional pada majlis pelancaran berkenaan sebagai petanda positif menjelang PRN akan datang.
Beliau berkata kesatuan dan kesediaan jentera parti akan menjadi faktor penting dalam memastikan BN terus mendapat kepercayaan rakyat untuk mentadbir negeri.
“Jentera BN hari ini bersedia, sebulat suara dan bersatu padu untuk menghadapi PRN Johor.
“Ini adalah medan perjuangan yang amat penting demi masa depan Johor yang akan ditentukan oleh rakyat Johor sendiri tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Menurut beliau, semua pihak dalam BN berkongsi hasrat yang sama iaitu membina masa depan Johor yang lebih baik dan terus memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan.
Beliau turut menyifatkan suasana pada majlis pelancaran jentera BN sebagai menunjukkan sokongan yang kuat terhadap kepimpinan parti di negeri itu.
“Suasana dan semangat gelombang biru yang ditunjukkan benar-benar luar biasa.
“Bukan sahaja ia petanda positif menjelang pilihan raya, malah mencerminkan kestabilan hasil kepimpinan BN Johor di bawah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya.
Datuk Hishammuddin berkata beliau akan terus bersama kepimpinan BN Johor dalam usaha memastikan negeri itu terus maju dan menikmati pembangunan yang mampan pada masa depan.
