Di sebalik angka memberangsangkan pertumbuhan ekonomi Johor, sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan sama ada kemajuan itu benar-benar dirasai rakyat kebanyakan.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Bahagian Johor Bahru, Encik Aiman Aizat Azhar, berkata Johor kini berada di landasan paling pesat membangun di negara itu dengan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) mencecah 6.4 peratus pada 2024 – tertinggi di Malaysia.
Malah, Johor turut mencatat pelaburan tertinggi negara sebanyak RM30.1 bilion ($9.1 bilion) bagi suku pertama 2025.
Namun, katanya, di sebalik pencapaian itu, wujud jurang ketara antara pertumbuhan ekonomi dengan kehidupan rakyat biasa.
“Laporan berita baru-baru ini mendedahkan bahawa Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita rakyat Johor masih di bawah purata kebangsaan.
“Ini membuktikan bahawa limpahan kekayaan belum dinikmati majoriti rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Julai.
Menurutnya, ramai pekerja tempatan masih terperangkap dalam sektor tidak formal, menerima upah rendah, malah ada yang dibayar di bawah paras gaji minimum.
“Lebih membimbangkan ialah fenomena penghijrahan tenaga mahir atau ‘brain drain’ ke negara jiran seperti Singapura kerana peluang setimpal tidak wujud di tanah air sendiri,” katanya.
Armada Johor Bahru turut menegaskan bahawa ketidakseimbangan pembangunan antara daerah semakin ketara.
Johor Bahru terus berkembang pesat, sedangkan daerah seperti Kota Tinggi, Mersing dan Segamat masih ketinggalan.
“Apa gunanya angka pelaburan dan pertumbuhan tinggi jika rakyat di luar bandar terus terpinggir?
“Kemajuan yang adil seharusnya merangkumi semua daerah, bukan hanya tertumpu di bandar utama,” tegasnya.
Encik Aiman Aizat berkata pihaknya menghargai kejujuran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mengakui dalam satu laporan bahawa tekanan inflasi dan kos sara hidup semakin menekan rakyat.
“Jika isu ini tidak ditangani segera, tidak mustahil ekonomi Johor akan lebih banyak menguntungkan negara jiran berbanding rakyat negeri sendiri,” katanya.
Armada Johor Bahru juga menggesa agar dasar dan mekanisme agihan ekonomi disemak semula secara menyeluruh.
Arah tuju pembangunan negeri, menurutnya, mesti lebih adil, saksama dan merangkumi semua lapisan masyarakat.
“Pertumbuhan ekonomi tidak boleh lagi dijadikan kayu pengukur semata-mata, apatah lagi sebagai alasan menutup kelemahan dalam agihan manfaat.
“Jangan biarkan yang kaya terus mengaut, sementara yang miskin semakin terhimpit,” tambahnya. – Remar Nordin


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg