Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Umno Johor kecam kritikan Armada Bersatu

Jul 10, 2025 | 12:09 PM
Naib Ketua Pemuda Umno Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain, sifatkan seruan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebagai amanat penyuntik harapan.
Naib Ketua Pemuda Umno Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain, sifatkan seruan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebagai amanat penyuntik harapan. - Foto ihsan DR MOHAMMAD ASWAD ITHNAIN

Beberapa pemimpin Umno Johor tampil mengecam kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang disifatkan sebagai cubaan memanipulasi seruan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk meraih kepentingan politik sempit.

Naib Ketua Pemuda Umno Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain, menegaskan seruan Tunku Ismail bukanlah satu ‘wake-up call’ (seruan menyentak) untuk dijaja secara politik, tetapi merupakan amanat yang menyuntik harapan dan semangat bagi memperkukuh usaha pembangunan Johor.

“Titah ini tidak pernah memperlekeh Kerajaan Johor, malah menyokong hala tuju yang sedang dilaksanakan.

“Pihak yang pernah diberi peluang mentadbir dahulu tetapi gagal menyelesaikan masalah rakyat, kini berselindung di sebalik nama institusi diraja,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Julai.

Beliau turut memetik pencapaian negeri Johor yang mencatat pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tertinggi pada 2024 iaitu 6.4 peratus, sekali gus menunjukkan dasar berani kerajaan negeri membuahkan hasil nyata seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Terdahulu, Ketua Armada Bersatu Johor, Encik Alias Rasman, dalam satu kenyataan media pada 8 Julai, menyifatkan seruan Tunku Ismail berkaitan gaji bermaruah, bekalan air dan perkhidmatan kesihatan sebagai cerminan suara rakyat yang telah lama bergelut dengan kelemahan tadbir urus dan kegagalan menyuarakan kepentingan Johor di peringkat Persekutuan.

“Titah ini adalah satu ‘wake-up call’ kepada kerajaan yang semakin selesa di tampuk kuasa, tetapi masih gagal mengurus perkara asas untuk rakyat,” katanya.

Ketua Penerangan Umno Johor, Encik Md Israk Abdullah, menyifatkan tindakan Armada sebagai tidak bertanggungjawab kerana cuba menangguk di air keruh dan mengelirukan masyarakat terhadap konteks sebenar seruan berkenaan.

“Banyak perkara yang disuarakan oleh Tuanku, termasuk pembukaan Hospital Pasir Gudang, usaha menambah baik sistem bekalan air, dan cadangan gaji bermaruah dalam JS-SEZ, sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa terdapat kerjasama erat antara Istana Johor dengan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat, manakala beberapa isu utama seperti pengisian jawatan perubatan melibatkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal amanah. Seruan Tunku Mahkota Ismail membuktikan raja dan rakyat berpisah tiada,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota, Encik Syed Hussien Syed Abdullah, turut mengecam kenyataan Ketua Armada Johor sebagai cubaan mengelirukan masyarakat dan menjejas imej pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Saya setuju dengan kerisauan yang disuarakan Tuanku, khususnya berhubung kekurangan petugas di Hospital Pasir Gudang dan tawaran gaji yang kompetitif kepada tenaga mahir dalam JS-SEZ. Ini sudah pun diberi perhatian oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Armada Johor adalah tindakan yang tidak berprinsip dan hanya bertujuan menimbulkan polemik politik.

“Secara peribadi saya mengecam kenyataan tersebut dan menganggap ia satu tindakan murahan untuk meraih simpati rakyat tanpa mengiktiraf pencapaian sebenar kerajaan hari ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg