Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bersatu tak tolak kemungkinan kerjasama dengan Umno

May 2, 2025 | 10:24 AM
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka untuk bekerjasama dengan Umno, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, Bersatu dan Umno berkongsi asas ideologi yang sama dan disebabkan itu, parti terbabit bersedia menjalin bekerjasama bagi mencapai misi yang sama.

“Jika dilihat dari sudut agenda, Umno ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Hari ini, Bersatu juga memegang ideologi yang sama.

“Adakah mungkin satu masa nanti ada kerjasama? Ini bukan bermakna Bersatu tidak kuat tetapi kita terbuka untuk bekerjasama.

“Ia untuk tujuan yang lebih besar, demi tujuan asal kami,” katanya dalam podcast yang dihoskan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim, yang disiarkan di YouTube pada 1 Mei.

Dalam podcast yang sama, Datuk Hamzah, turut memberitahu mantan pemimpin Kongres India Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) sudah mendaftar untuk menjadi ahli Bersatu.

Menurutnya, Bersatu dan Umno tidak sehaluan kerana perbezaan keutamaan kepimpinan dengan parti itu mahu membawa agenda lebih segar.

Beliau mendakwa ramai mantan ahli Barisan Nasional (BN) mengemukakan rayuan untuk menyertai parti terbabit.

“Di sini, kita dapat lihat terdapat kecenderungan mereka dalam kalangan bukan Bumiputera untuk bersama (Bersatu),” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengapa kumpulan pemimpin itu meninggalkan BN, Datuk Hamzah berkata beliau tidak tahu sebab sebenar.

Namun, beliau mencadangkan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu mengangkat suara rakyat Malaysia secara menyeluruh.

Katanya, sayap bersekutu Bersatu tidak lagi dilihat sebagai sekutu semata-mata, malah kini sebahagian daripada sayap parti.

“Pemimpin mereka sudah pun duduk di peringkat yang sama dengan Naib Presiden parti.

“Ini bermakna, dalam mesyuarat kita membincangkan segala-galanya. Kita sangat inklusif. Kita memberi ruang kepada bukan Melayu untuk rasakan bahawa ini bukan gabungan semata-mata, bahkan mereka adalah sebahagian daripada parti,” katanya.

Datuk Hamzah berkata Bersatu turut mendapatkan pandangan orang ramai bagi menambah ahli bersekutu.

“Jika kita perluaskan (ahli bersekutu) dengan memberitahu lebih ramai orang, minat mereka akan meningkat. Kita semua boleh bersama, dalam satu parti,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg