Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Anak muda M’sia bukan alat politik, diheret dalam perbalahan kaum

Sebaliknya golongan muda adalah generasi yang perlu dibimbing untuk bantu pembangunan negara
Apr 28, 2025 | 3:26 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyantuni orang ramai yang hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, Perlis, pada 27 April.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyantuni orang ramai yang hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, Perlis, pada 27 April. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Ahli politik mahupun semua pihak yang terbabit dalam politik di Malaysia harus berhenti menggunakan anak muda sebagai ‘alat’ dalam politik sempit dan perbalahan antara kaum.

Peringatan itu dizahirkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengingatkan anak muda tidak patut diheret ke kancah perbincangan politik yang melemahkan dan memecahbelahkan, sebaliknya golongan itu adalah generasi yang perlu dibimbing untuk membantu pembangunan negara.

Katanya, golongan muda perlu dibimbing untuk menguasai bidang-bidang strategik seperti sains, teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.

“Jangan heret anak muda untuk berbincang isu yang melemahkan kita. Kita perlu bangunkan kekuatan mereka, bina negara ini dan fikirkan masa depan rakyat serta anak muda kita untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Anak muda perlu diberi peluang membangunkan diri melalui penguasaan pelbagai kemahiran relevan dengan keperluan masa depan.

“Adakah kita mahu terus bergaduh soal kaum dan tafsiran atau kita mahu angkat martabat negara supaya menjadi sebahagian daripada negara maju yang mampu menangani ujian semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, Perlis, pada 27 April.

Menurut Datuk Anwar, kerajaan kini memberi fokus besar kepada pendidikan, dengan peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2025 disalurkan ke sektor itu sebagai pelaburan penting untuk masa depan Malaysia.

“Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan anak muda berkembang dengan cemerlang melalui peruntukan terbesar dalam belanjawan bagi sektor pendidikan.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan anak muda tidak terjebak isu yang memecahbelahkan dan semua pihak perlu bersama menyokong usaha kerajaan dalam membina masa depan lebih baik untuk generasi muda,” katanya.

Politik sempit dan melaga-lagakan kaum terbukti ditolak rakyat Malaysia, dengan contoh terkini yang boleh dikaitkan ialah keputusan pilihan raya kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, di Perak, pada 26 April lalu, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang dengan peningkatan jumlah majoriti.

Dalam keputusan PRK itu, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, mendapat 11,083 atau 60.7 peratus undi keseluruhan, iaitu peningkatan berbanding 9,088 undi (38.73 peratus) yang diperoleh mantan calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu, calon BN memenangi 19 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), malah majoriti pengundi Melayu dan Cina memberi undi kepada Dr Mohamad Yusri.

Tindakan pihak lawan memainkan isu sentimen kaum dan cuba menimbulkan kebencian antara kaum melalui isu ladang babi dan kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan jelas tidak membuahkan hasil.

Undi diperoleh calon Perikatan Nasional (PN), Encik Abdul Muhamin Malek, merosot berbanding PRU15 lalu dengan hanya mendapat 6,059 undi pada PRK kali ini.

Seorang lagi calon iaitu daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), Cik Bawani KS, pula tidak dilihat sebagai pencabar utama, namun memperoleh peningkatan undi iaitu 1,106 semasa PRK, berbanding hanya 586 undi pada PRU15.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg