Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertembungan 3 penjuru di pilihan raya kecil Perak, lebih 31,000 penduduk dijangka buang undi

Personaliti, pengalaman dan latar belakang calon BN beri kelebihan
Apr 25, 2025 | 3:00 PM
pilihan raya, Malaysia, Perak
Calon Barisan Nasional (BN) yang juga Setiausaha Umno bahagian Tapah (Perak), Dr Mohamad Yusri Bakir (dua dari kanan), giat turun padang bertemu penduduk dalam tempoh kempen sebelum hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Tapah, Perak, pada 26 April. - Foto FACEBOOK YUSRI BAKIR

Lebih 31,000 pengundi berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baru pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Tapah, Perak, bermula 8 pagi pada 26 April.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon kerajaan daripada Barisan Nasional (BN)-Umno, Dr Mohamad Yusri Bakir; calon pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN)-Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Encik Abdul Muhaimin Malek; dan calon tunggal wanita daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), Cik Bawani KS.

Berdasarkan rekod, calon BN dilihat meniti laluan mudah untuk kekal mempertahankan penguasaan di DUN Ayer Kuning yang dikuasai gabungan politik itu sejak Pilihan Raya Umum ke-7 (PRU7) pada 1986.

Personaliti, pengalaman dan latar belakang cemerlang Dr Mohamad Yusri dalam bidang pendidikan juga dijangka mampu menyumbang kemenangan kepada BN untuk mengekalkan kerusi tradisi itu.

BN juga dilihat mempunyai kelebihan menerusi bantuan jentera kempen daripada Pakatan Harapan (PH) – blok politik yang bekerjasama membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU15 pada 2022 – untuk menarik pengundi terutama daripada kalangan bukan Melayu.

Walaupun kerajaan dibebani kesan isu kontroversi terkini terutama kes bendera Malaysia yang dinamakan Jalur Gemilang disiarkan secara ‘cacat’ oleh agensi media Malaysia ketika lawatan negara Presiden China, Encik Xi Jinping, pada 15 April lalu, ia dijangka tidak menjejaskan peluang BN untuk menang kerusi Ayer Kuning.

Dr Mohamad Yusri, 54 tahun, yang juga Setiausaha Umno bahagian Tapah, giat berkempen dengan menziarahi rumah ke rumah dan bertemu penduduk di lapangan untuk mengenal pasti permasalahan yang memerlukan penyelesaian segera.

“Saya berterima kasih kepada seluruh jentera yang sudah bekerja keras membantu perjalanan kempen dalam tempoh dua minggu ini. Saya percaya jika kita ikhlas memberi khidmat terbaik kepada rakyat, Allah akan beri jalan dan insya-Allah doakan kemenangan saya untuk meneruskan legasi khidmat BN di DUN Ayer Kuning,” katanya.

Dr Mohamad Yusri memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, dan kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, di Perak.

Sementara itu lawannya, Encik Abdul Muhaimin, 44 tahun, mengharapkan pengundi memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil rakyat di DUN Ayer Kuning dan mempertaruhkan lima pelan sasaran untuk membanteras isu yang membelenggu penduduk di situ.

“Antaranya ialah untuk menangani isu pencemaran yang menjejas kesihatan penduduk, selain berikrar untuk meningkatkan ekonomi dan memperkasa usahawan tempatan jika diberi mandat pada 26 April nanti,” kata Yang Dipertua PAS Tapah, yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran ADDIN di Perak.

Cik Bavani, 40 tahun, pula mengharapkan akan berlaku satu kejutan iaitu gelombang sokongan rakyat kepada calon kuasa ketiga yang benar-benar turun padang untuk membela nasib rakyat.

PRK Ayer Kuning diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Kuning daripada BN-Umno, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58 tahun, meninggal dunia pada 22 Februari, selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Berdasarkan demografi pengundi, seramai 31,940 pengundi layak mengundi, iaitu Melayu sebanyak 55.97 peratus, Cina (22.9 peratus), India (14.38 peratus) dan Orang Asli (7.5 peratus).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg