KUALA LUMPUR: Perbicaraan saman sivil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap mantan Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, bermula pada 3 Ogos, dengan syarikat itu menuntut kira-kira AS$5.64 bilion ($7.18 bilion) daripadanya dan beberapa individu lain berhubung dakwaan penyelewengan dana.

Dalam ucapan pembukaannya, peguam utama, Datuk Lim Chee Wee, yang mewakili 1MDB dan empat anak syarikatnya memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa pihak plaintif akan membuktikan, melalui dokumen dan keterangan saksi, bahawa Encik Najib menjadi tokoh utama dalam penipuan 1MDB yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM51.4 bilion.

“Jumlah kerugian yang ditanggung dianggarkan RM51.4 bilion. Kerajaan dan secara tidak langsung rakyat biasa terus menanggung beban besar ini,” katanya.

Datuk Lim berkata pihak plaintif mengemukakan lapan asas tuntutan terhadap Encik Najib, iaitu penipuan, kecuaian, pelanggaran tanggungjawab fidusiari, pecah amanah, konspirasi, salah laku ketika memegang jawatan awam, memperoleh keuntungan secara tidak adil serta menerima wang atau aset dengan mengetahui ia diperoleh secara salah.

Katanya ketika berada di bawah kepimpinan Encik Najib, 1MDB melaksanakan beberapa urus niaga yang didakwa mempunyai unsur penipuan secara tergesa-gesa, dengan bantuan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

“Najib Razak dibantu oleh Low, yang tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam pengurusan 1MDB, tetapi sering mengeluarkan arahan terperinci bagi pihak Najib dan bercakap mewakilinya dalam perkara berkaitan 1MDB,” katanya, lapor portal berita, Free Malaysia Today.

Datuk Lim memberitahu mahkamah bahawa AS$30 juta dipindahkan ke akaun AmBank milik Encik Najib pada 2012, diikuti AS$681 juta pada 2013 dan AS$1.27 juta lagi pada 2014.

Katanya, dana yang didakwa diseleweng itu turut dialihkan untuk manfaat beberapa individu, termasuk Low dan keluarganya yang didakwa menerima kira-kira AS$1.03 bilion.

Beliau berkata anak tiri Encik Najib, Encik Riza Aziz, didakwa menerima dana bagi membiayai sebuah filem Hollywood, manakala dana yang dikaitkan dengan isteri Encik Najib, Cik Rosmah Mansor, didakwa digunakan untuk membeli barangan mewah.

Datuk Lim berkata sebahagian besar hasil terbitan bon dan pinjaman 1MDB turut disalurkan kepada syarikat tidak mempunyai operasi perniagaan sebenar.

Katanya, penyelewengan itu didakwa berlaku dalam empat fasa, iaitu fasa Good Star membabitkan AS$1.83 bilion, fasa Aabar sebanyak AS$1.367 bilion, fasa Tanore sebanyak AS$1.591 bilion dan fasa pembelian semula opsyen sebanyak AS$856.3 juta.

Datuk Lim berkata pihak plaintif bercadang memanggil enam saksi, termasuk pengarah siasatan firma penasihat kewangan dan risiko antarabangsa Kroll Advisory Ltd, Encik Richard Templeman, yang akan memberi keterangan mengenai aliran dana.

Seorang lagi saksi daripada Kroll, Cik Angela Barkhouse, akan memberi keterangan mengenai peranan pelikuidasi serta usaha mendapatkan bukti.

Mantan Presiden dan Ketua Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, akan memberi keterangan mengenai beberapa fasa penipuan yang didakwa berlaku, manakala bekas penasihat undang-undang 1MDB, Cik Jasmine Loo, turut akan memberi keterangan mengenai perkara sama.

Pengarah 1MDB, Encik Hisyamuddin Awang Abu Bakar, akan memberi keterangan mengenai jumlah kerugian yang didakwa dialami pihak plaintif.

Mantan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Encik Tony Pua, pula akan memberi keterangan mengenai peristiwa sejak 2018 yang membawa kepada pemfailan saman itu.

1MDB dan empat anak syarikatnya – 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited – memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.

Saman itu turut menamakan mantan Ketua Eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, dan mantan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Encik Casey Tang, sebagai defendan. Kedua-duanya masih belum dapat dikesan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Redzuan Idrus bersambung.

Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion terhadap Encik Najib selepas mensabitkannya dalam perbicaraan jenayah 1MDB.

Hukuman penjara itu dijadualkan bermula pada 2028, selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.