Topic followed successfully
Go to BHkuNajib tarik balik rayuan tahanan rumah, kekal di Penjara Kajang
Najib tarik balik rayuan tahanan rumah, kekal di Penjara Kajang
Najib tarik balik rayuan tahanan rumah, kekal di Penjara Kajang
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang tidak membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Ini bermakna Encik Najib kekal menjalani baki hukuman enam tahun di Penjara Kajang, Selangor, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta ($13.53 juta).
Dalam perkembangan sama, Encik Najib juga tidak berhasrat meneruskan rayuan untuk mendapat kebenaran memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap mantan Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berkaitan titah adendum (perintah tambahan diraja).
Titah adendum itu ialah dokumen yang didakwa membenarkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Permohonan menarik balik rayuan terhadap semakan kehakiman (titah adendum) dimaklumkan kepada Mahkamah Rayuan pada 3 April menerusi notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh sehari sebelumnya, lapor MalaysiaGazette.
Firma guaman itu memaklumkan Encik Najib tidak berhasrat meneruskan rayuan tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula, perintah berkaitan kos juga tidak dipohon.
Tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan pemberhentian berkenaan.
Sehubungan itu, pada 14 April, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan merekodkan bahawa notis pemberhentian peguam adalah teratur dan seterusnya membatalkan notis rayuan Encik Najib.
Dalam pada itu, menerusi surat berlainan bertarikh 9 April, Mahkamah Rayuan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Encik Najib turut menarik balik rayuan berkaitan Tan Sri Ahmad Terrirudin menerusi notis yang difailkan firma guamannya pada 31 Mac.
“Rayuan tersebut (Ahmad Terrirudin) telah dibatalkan daripada senarai rayuan sivil di bawah kaedah 9(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994,” demikian menurut surat itu.
Pada 4 September 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan Encik Najib untuk mendapat kebenaran memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap Tan Sri Ahmad Terrirudin.
Pada 22 Disember 2025 pula, hakim sama menolak semakan kehakiman Encik Najib untuk memaksa kerajaan dan enam yang lain melaksanakan titah adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Mahkamah berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari 2024.
Titah adendum dikatakan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang membolehkan Encik Najib yang juga mantan Presiden Umno menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam semakan kehakiman itu, Encik Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Encik Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
