KUALA LUMPUR: Walaupun 49 bayi dilahirkan setiap jam di Malaysia pada suku pertama 2024, jumlah keseluruhan kelahiran hidup di negara ini masih kurang daripada angka dalam tempoh sama pada 2023.
Ketua Perangkawan (ahli statistik) Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah kelahiran hidup pada suku pertama 2024 ialah 106,386, berbanding 117,413 kelahiran pada suku pertama 2023, iaitu penurunan sebanyak 9.4 peratus.
“Secara purata, satu bayi dilahirkan seminit, 49 bayi dilahirkan setiap jam dan 1,182 bayi dilahirkan setiap hari pada suku pertama 2024.
“Bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 54,747 kelahiran berbanding 51,639 kelahiran (perempuan),” katanya dalam laporan terkini Perangkaan Demografi, yang memaparkan data penduduk, kelahiran hidup dan kematian bagi suku tahun pertama 2024, lapor The Star.
Datuk Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan kelahiran hidup tertinggi, iaitu 19,951, atau 18.8 peratus, manakala wilayah persekutuan Labuan mencatatkan kelahiran terendah sebanyak 323 kelahiran, atau 0.3 peratus.
Beliau berkata penduduk Melayu membentuk majoriti kelahiran hidup pada 68.8 peratus, atau 73,136 kelahiran, pada suku pertama 2024, meningkat daripada 67.6 peratus dalam tempoh sama pada 2023.
“Kelahiran hidup bagi Cina dan India masing-masing menurun kepada 8.8 peratus dan 3.7 peratus pada suku tahun pertama 2024, berbanding 9.7 peratus dan 4.3 peratus bagi suku tahun pertama 2023.
“Bumiputera lain merekodkan peningkatan kepada 12.7 peratus pada suku tahun pertama 2024, daripada 12.6 peratus bagi tempoh sama pada 2023,” katanya.
Datuk Mohd Uzir berkata dari segi kumpulan umur ibu pula, ibu berusia 30 hingga 39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi, iaitu 55,864 (52.5 peratus), pada suku tahun 2024, diikuti oleh ibu berumur 20-29 tahun (40 peratus), 40 tahun dan lebih (6 peratus), dan ibu muda berusia kurang daripada 20 tahun (1.5 peratus).
Mengenai jumlah penduduk Malaysia pada suku tahun pertama 2024, Datuk Uzair berkata dianggarkan ia berjumlah 34 juta orang, meningkat 2.3 peratus daripada sekitar 33.2 juta pada suku tahun pertama 2023.
Jumlah itu terdiri daripada 30.6 juta, atau 90 peratus, warganegara dan 3.4 juta (10 peratus) bukan warganegara.
“Penduduk lelaki Malaysia meningkat kepada 17.8 juta pada suku pertama 2024 daripada 17.4 juta bagi tempoh sama 2023 dan perempuan pula meningkat kepada 16.1 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh sama.
“Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya.
Menurutnya, Melayu membentuk 57.9 peratus (17.7 juta) daripada jumlah penduduk pada suku tahun pertama 2024, berbanding 17.6 juta bagi tempoh sama pada 2023.
“Penduduk Cina, India dan Bumiputera lain kekal pada masing-masing 22.6 peratus, 6.6 peratus dan 12.2 peratus,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg