KUALA LUMPUR: Syarikat BlackBerry Ltd mengumumkan bahawa bahagian keselamatan siber firma teknologi berpangkalan di Canada itu telah menubuhkan ibu pejabat serantau untuk rantau Asia Pasifik di Malaysia.
Telah beroperasi sepenuhnya, ibu pejabat itu berpangkalan di Cyberjaya itu mengambil peluang daripada lokasinya yang berhampiran dengan hab teknologi baru muncul dan infrastruktur kerajaan.
Ibu pejabat baru dan pengembangan rantau di Asia Pasifik itu menandakan komitmen berterusan BlackBerry terhadap Malaysia, susulan perjanjian keselamatan siber penting yang diumumkan pada November 2023.
BlackBerry bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber, iaitu kemudahan latihan bertaraf dunia untuk membantu meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara.
Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, mengalu-alukan keputusan BlackBerry untuk menubuhkan ibu pejabat serantau di Malaysia, lapor Berita Harian Malaysia.
“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia tetapi akan membolehkan rantau ini memanfaatkan penyelesaian keselamatan siber termaju yang ditawarkan oleh BlackBerry,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan BlackBerry pada 28 Oktober.
Naib Presiden Keselamatan Siber BlackBerry di Asia Pasifik, Encik Tash Stamatelos, berkata Malaysia adalah pasaran penting secara strategik bagi BlackBerry.
“Kami berbangga menubuhkan ibu pejabat Asia Pasifik baru di Malaysia sebagai sebahagian rancangan pengembangan serantau.
“Dalam pada negara ini (Malaysia) akan menjadi Pengerusi Asean, kami memuji usaha Malaysia memajukan transformasi digital dan kerjasama serantau dalam bidang seperti keselamatan siber, selain pelaburan berterusan dalam kemahiran, inovasi dan infrastruktur untuk memajukan ekonominya.
“Ini membina ekosistem yang dipercayai yang menarik untuk syarikat global seperti BlackBerry untuk melabur dan beroperasi, dan kami teruja dengan perjalanan kami ke hadapan dengan Malaysia sebagai hab Asia Pasifik serantau,” katanya.
BlackBerry menyediakan perisian dan perkhidmatan keselamatan pintar kepada perusahaan dan pemerintah di seluruh dunia. Perisian syarikat itu digunakan oleh lebih 255 juta kenderaan.
Berpangkalan di Waterloo, Ontario, BlackBerry memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin untuk menyampaikan penyelesaian inovatif bidang keselamatan siber, keselamatan dan penyelesaian privasi data.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg