Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Tiada pekerja akan dibuang walau Pos Malaysia guna AI, robot dan dron

Teknologi tidak akan ganti posman, bertujuan bolehkan kerja dilakukan dengan lebih berkesan dan pertingkat mutu khidmat
Oct 9, 2024 | 4:48 PM
Menteri Komunikasi Malaysia, Encik Fahmi Fadzil, semasa menyampaikan ucapan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Pos Sedunia 2024 pada 9 Oktober.
Menteri Komunikasi Malaysia, Encik Fahmi Fadzil, semasa menyampaikan ucapan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Pos Sedunia 2024 pada 9 Oktober. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiada pekerja Pos Malaysia Berhad akan diberhentikan walaupun syarikat itu akan mula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatannya.

Jaminan itu diberikan Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, yang menjelaskan walaupun Pos Malaysia disaran mencari huraian terbaik untuk memastikan kemajuan perkhidmatannya, tiada sesiapa daripada 18,000 pekerjanya perlu diberhentikan.

“Hari ini AI perlu dimanfaatkan Pos Malaysia untuk menyelesaikan masalah yang timbul, bukan sekadar menangani komen-komen di media sosial, tetapi juga bagi menangani perkara operasi yang perlu dilaksanakan.

“Ia sama seperti kaedah yang digunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang kini menggunakan AI untuk menyelesaikan isu aduan gangguan rangkaian.

“Namun begitu, posmen tidak perlu risau apabila Pos Malaysia menggunakan AI dalam perkhidmatannya dan AI tidak akan menggantikan kerja penghantaran anda.

“Penggunaan robot dan dron juga masih terlalu mahal untuk kita, jadi jangan risau. Pos Malaysia ada kira-kira 18,000 pekerja, saya tidak mahu seorang pun kehilangan kerja,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Pos Sedunia di sini pada 9 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa itu adalah komitmen kerajaan untuk terus menyampaikan maklumat dan berintegrasi dengan teknologi yang ada.

Pos Malaysia adalah pembekal eksklusif perkhidmatan mel di Malaysia. Ia dikorporatkan daripada Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia milik kerajaan pada 1990.

Pada satu sidang media kemudiannya, Encik Fahmi menjelaskan bahawa penggunaan AI tidak akan menggantikan manusia di Pos Malaysia, sebaliknya ia bertujuan memantapkan penggunaan tenaga kerja.

“Ia untuk menjadikan pekerjaan yang dilakukan itu lebih berkesan dan pada masa sama meningkatkan mutu perkhidmatan. Jadi saya tidak lihat ada keperluan untuk membuang pekerja apabila Pos Malaysia memanfaatkan AI.

“Teknologi boleh disesuaikan dengan tindakan seperti menganalisis data. AI mampu membuat beberapa perkara, khususnya dalam beberapa aspek pengurusan, tetapi bukan dalam perkara berkaitan logistik.

“Kita tidak menjangkakan pekerjaan akan hilang, tapi mungkin skop pekerjaan akan berubah,” katanya.

Sementara itu, Encik Fahmi berkata Akta Perkhidmatan Pos 2012 ( Akta 741) sedang dalam perancangan untuk dipinda dan MCMC sudah melantik perunding bagi tindakan seterusnya.

Menurutnya, pindaan itu perlu kerana banyak perkara sudah berubah sejak 2012 dan mungkin berubah lagi sepanjang 10 tahun mendatang.

“MCMC sudah melantik satu badan penasihat atau penasihat untuk merunding dan meneliti kewajaran kerajaan meminda Akta Perkhidmatan POS 2012, sesuai dengan perubahan semasa.

“Ia masih lagi di peringkat awal, namun kita jangkakan ia akan ambil masa lebih kurang lapan hingga 12 bulan untuk laporan itu disiapkan. Paling awal jika pindaan berlaku adalah pada 2026,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg