Topik diikuti
Pergi ke BHkuBN akan kembali laksana GST jika menang pilihan raya umum
Disifat sebagai sistem lebih berkesan, Umno azam pastikan kadar GST kelak tetap pada peratusan munasabah
BN akan kembali laksana GST jika menang pilihan raya umum
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersama parti komponennya berazam mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya gabungan itu kembali membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata GST perlu dikembalikan kerana sistem percukaian itu sudah dilaksanakan di lebih 170 negara.
Beliau menyifatkan GST sebagai sistem percukaian yang lebih adil dan fokus berbanding Sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika ini.
“Saya amat setuju, GST mesti dikembalikan!
“Bossku (gelaran untuk bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak) telah melakukan yang terbaik dahulu.
“Saya berazam dan berhasrat dalam BN, kalau kita ke Putrajaya semula, kita terus kembalikan GST.
“Ini bukan soal kononnya SST lebih adil, lebih telus. GST dilaksanakan oleh lebih 170 negara. Hanya kita negara yang tertinggal dan masih guna pakai SST,” katanya, lapor laman web Buletin TV3.
Datuk Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Persatuan Cina Malaysia (MCA), di Wisma MCA, di Kuala Lumpur, pada 22 November.
Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Sebelum ini, Datuk Zahid yang juga Presiden Umno menerusi Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2026 pada 11 September lalu, menggesa supaya GST yang disifatkan sebagai sistem percukaian lebih berkesan yang pernah dilaksanakan di bawah pentadbiran BN, dilaksanakan semula.
Beliau turut menyatakan azam parti Umno untuk memastikan kadar GST yang ditetapkan kelak berada pada peratusan lebih munasabah untuk menyelaraskan jaminan sosial rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Zahid turut mengingatkan semua parti komponen BN supaya mengetepikan perselisihan dalaman dan menghentikan budaya mencari kesalahan sesama sendiri.
Ini bagi memastikan gabungan itu dapat bergerak sebagai satu pasukan.
Menurut Datuk Zahid, pengalaman lapan tahun menerajui BN menyaksikan pelbagai cabaran dalam hubungan antara parti komponen, termasuk ketika gabungan itu hampir berantakan akibat perbezaan pandangan.
“Kalau betul kita mahu menang pilihan raya selepas ini, perangai mencari salah itu mesti kita tinggalkan.
“We have to stand together and we have to work together (kita mesti kekal bersatu dan bekerja bersama) dalam satu keluarga besar, Keluarga Barisan Nasional,” katanya.
Datuk Zahid berkata setiap parti komponen perlu menghormati perbezaan pandangan dan menyelesaikan sebarang perselisihan menerusi perbincangan bersama.