PETALING JAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di negara itu memerlukan masa beberapa tahun untuk direalisasikan.
Datuk Anwar mengakui GST adalah sistem cukai paling telus, cekap dan mampu menyumbang kepada pendapatan negara.
Namun, ia hanya boleh dilaksanakan semula selepas menilai pendapatan minimum berjaya ditingkatkan.
“Kalau laksanakan GST sekarang, semua kena bayar termasuk orang kaya dan yang miskin. Berikan kita masa beberapa tahun lagi.
“Saya faham dan mengkaji sejak sedekad lalu bahawa GST adalah sistem cukai paling efisien dan memberi kelebihan kepada kerajaan untuk mengutip pendapatan.
“Namun, berikan kita masa untuk meningkatkan ekonomi terlebih dahulu dan nilai pendapatan minimum kepada RM3,000 atau RM4,000 minimum,” katanya ketika berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-78, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustri Cina Malaysia (ACCIM), lapor Kosmo!.
Menurut Datuk Anwar, kerajaan hanya akan melaksanakan GST jika gaji minimum meningkat kepada RM3,000 ($913) hingga RM4,000. Ketika ini, gaji bulanan minimum di Malaysia adalah RM1,500.
Jelasnya, GST juga akan membantu mengembangkan dana kerajaan dengan kutipan hasil yang lebih tinggi, namun kata Datuk Anwar, beliau percaya golongan miskin tidak seharusnya dibebani dengan sistem cukai sedemikian.
Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelaksanaan GST telah menjadi isu berterusan selama beberapa dekad, malahan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.
Beliau ketika itu tidak bersetuju GST dilaksanakan kerana berasa gejala rasuah yang membabitkan ketirisan wang negara berbilion ringgit antara lainnya perlu ditangani terlebih dahulu.
Cukai GST diperkenalkan di Malaysia ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, melalui Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 berkuat kuasa pada 1 April 2015.
Penguatkuasaan cukai GST bertujuan mengubah sistem cukai Malaysia dan merangsang ekonomi negara yang semakin membangun untuk mencapai status negara maju.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg