Topik diikuti
Pergi ke BHkuBN Johor gesa Anwar bawa imej negarawan, bukan rentak pembangkang
BN Johor gesa Anwar bawa imej negarawan, bukan rentak pembangkang
BN Johor gesa Anwar bawa imej negarawan, bukan rentak pembangkang
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disaran membezakan peranannya sebagai ketua kerajaan dengan kedudukannya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya setiap kenyataan dan ucapan yang disampaikan mencerminkan kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, adalah lumrah bagi setiap parti politik berusaha meraih sokongan rakyat, namun pendekatan yang dibawa seorang Perdana Menteri perlu berbeza daripada seorang ketua pembangkang.
Beliau berkata walaupun Datuk Anwar berhak berkempen sebagai Presiden PKR dan pemimpin Pakatan Harapan (PH), rakyat mengharapkan beliau membawa imej serta pembawaan yang lebih mencerminkan kedudukan sebagai ketua kerajaan.
“Saya melihat kebelakangan ini, Perdana Menteri masih membawa gaya dan rentak seorang ketua pembangkang walaupun beliau kini adalah Perdana Menteri Malaysia.
“Sebagai Presiden PKR dan pemimpin PH, kita faham beliau perlu turun berkempen menjelang PRN. Itu perkara biasa dalam politik. Namun pada masa yang sama, beliau juga perlu tahu membezakan antara peranan sebagai Presiden parti dan peranan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Jun.
Datuk Abdul Halim berkata rakyat mahu melihat seorang pemimpin negara yang tampil dengan pendekatan lebih tenang, rasional dan berfokus kepada penyelesaian isu rakyat.
“Apabila seseorang sudah menjadi Perdana Menteri, rakyat mahu melihat pendekatan yang berbeza. Perdana Menteri perlu dilihat sebagai seorang yang rasional, bukannya emosional.
“Rakyat mahu mendengar penyelesaian, hala tuju dan keyakinan terhadap masa depan negara, bukan terlalu banyak mengulang siapa yang salah atau siapa yang patut dipersalahkan,” katanya.
Beliau berkata pemimpin negara terdahulu juga berdepan kritikan dan lawan politik yang hebat, namun kebiasaannya berusaha membawa imej sebagai ketua kerajaan yang bercakap bagi pihak seluruh rakyat.
Menurutnya, seorang Perdana Menteri perlu memastikan setiap ucapan rasmi yang disampaikan tidak dilihat mewakili kepentingan parti semata-mata, sebaliknya mencerminkan kedudukannya sebagai pemimpin negara.
“Kalau kita lihat bekas-bekas Perdana Menteri sebelum ini, mereka juga mempunyai lawan politik dan menerima kritikan yang hebat.
“Tetapi apabila berdiri di pentas rasmi kerajaan, kebanyakannya cuba membawa imej seorang ketua kerajaan yang bercakap bagi pihak seluruh rakyat, bukan sekadar bagi pihak parti masing-masing,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa jawatan Perdana Menteri bukan sekadar kedudukan politik, sebaliknya sebuah institusi yang membawa imej negara di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa.
Datuk Abdul Halim menegaskan pandangannya itu bukan bertujuan menyerang mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya berkaitan harapan rakyat terhadap standard kepimpinan yang perlu ditampilkan oleh seorang Perdana Menteri.
