Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan pendirian politik untuk tidak bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak seharusnya disalah tafsir sebagai tindakan meminggirkan masyarakat Cina atau berasaskan sentimen perkauman.

Setiausaha BN Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata terdapat pihak tertentu yang cuba mengaitkan pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dengan penolakan terhadap masyarakat Cina, sedangkan kenyataan tersebut hanya membabitkan hubungan politik antara parti.

Beliau berkata DAP merupakan sebuah parti politik, manakala masyarakat Cina adalah komuniti yang lebih besar dan terdiri daripada pelbagai latar belakang serta kecenderungan politik.

“Mengkritik DAP bukan bermakna mengkritik kaum Cina. Tidak bekerjasama dengan DAP juga bukan bermakna menolak masyarakat Cina.

“Menyamakan DAP dengan keseluruhan kaum Cina adalah satu pemikiran yang sempit dan tidak sihat untuk masa depan politik negara,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Jun.

Menurut beliau, masyarakat Cina di Malaysia tidak terikat kepada satu parti politik semata-mata kerana terdapat pengundi Cina yang menyokong pelbagai parti termasuk MCA, PKR, parti bebas dan juga BN.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang cuba menggambarkan seolah-olah DAP merupakan satu-satunya suara yang mewakili keseluruhan masyarakat Cina.

Datuk Abdul Halim berkata dalam sistem demokrasi, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan rakan kerjasama politik berdasarkan prinsip, ideologi dan hala tuju masing-masing.

Katanya, DAP dan Pakatan Harapan (PH) sendiri sebelum ini pernah menolak kerjasama dengan parti-parti tertentu atas perbezaan prinsip politik, namun tindakan itu tidak pernah dianggap sebagai penolakan terhadap mana-mana kaum.

“Keputusan untuk bekerjasama atau tidak bekerjasama dengan mana-mana parti politik adalah amalan biasa dalam demokrasi.

“Jadi mengapa apabila BN Johor membuat pendirian politik berdasarkan prinsip dan identiti politik negeri Johor, ia cuba ditafsirkan sebagai isu perkauman?” katanya.

Beliau turut mendakwa pihak yang cuba mengaitkan DAP dengan keseluruhan masyarakat Cina sebenarnya sedang memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik.

Menurutnya, masyarakat Cina Johor telah lama menjadi sebahagian daripada keluarga besar Bangsa Johor yang hidup bersama masyarakat Melayu, India, Orang Asli dan kaum lain dalam suasana harmoni.

Katanya, konsep Bangsa Johor yang diasaskan sejak zaman Almarhum Sultan Abu Bakar menekankan perpaduan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, serta meletakkan kepentingan negeri mengatasi perbezaan politik.

“Johor tidak dibina atas politik kebencian atau perkauman. Johor dibina atas semangat Bangsa Johor yang menyatukan seluruh rakyat.

“Umno dan BN Johor akan terus mempertahankan prinsip ini.

“Kami tidak melihat rakyat melalui warna kulit, sebaliknya melihat mereka sebagai rakyat Johor yang berhak menerima pembelaan yang sama,” katanya.

Datuk Abdul Halim berkata pendirian Datuk Onn Hafiz perlu dilihat dalam konteks mempertahankan prinsip politik dan identiti Johor, bukannya sebagai usaha menolak mana-mana kaum.

Beliau yakin rakyat Johor cukup matang untuk membezakan antara parti politik dengan sesuatu kaum serta tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman.

“DAP bukan kaum Cina dan kaum Cina bukan DAP. Masyarakat Cina tidak seharusnya dijadikan tebusan kepada percaturan politik mana-mana parti,” katanya.