JOHOR BAHRU: Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang terus dipertahankan pimpinan parti itu yang menegaskan langkah berkenaan bukan satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kenyataan Ahli Parlimen Pulai, Encik Suhaizan Kaiat, yang menyifatkan tindakan BN Johor sebagai satu bentuk tekanan politik tidak wajar dibangkitkan.

Menurut beliau, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta supaya tiada pihak mengugut kerajaan, perkara sama juga perlu dipatuhi pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah).

“Kalau PMX (Datuk Anwar) kata jangan ugut dia, maka Suhaizan jangan cuba ugut BN Johor.

“Amanah lebih wajar berhadapan dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang didapati lebih terang-terangan mengancam Perdana Menteri,” ujarnya dalam hantaran media sosial pada 19 Mei.

Datuk Mohd Puad berkata, isu ancaman peletakan jawatan menteri DAP berhubung potensi pengampunan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah polemik yang jauh lebih besar berbanding isu pertandingan solo BN Johor.

Beliau memperjelaskan, tindakan bertanding sendiri bukan pengkhianatan kerana Johor tidak terikat dengan konsep Kerajaan Perpaduan seperti di Pusat.

“Dalam realiti Johor, isu ancaman atau khianat tidak timbul apabila Umno Johor memilih bertanding bersendirian di semua 56 DUN.

“Ini kerana di Johor, Kerajaan Perpaduan tidak wujud. Umno Johor telah bertindak telus dan mengumumkannya secara terbuka,” tambahnya.

Beliau turut menyentuh perbandingan dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) di Sabah yang didakwa meletakkan calon pada saat-saat akhir di Kamabong, meskipun Umno telah awal membuat ketetapan di kawasan itu.

Mengukuhkan pendirian itu, Setiausaha BN Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman, menyatakan keputusan bertanding di semua kerusi adalah manifestasi amalan demokrasi yang murni, menafikan sebarang unsur pengkhianatan.

Jelas beliau, kerajaan negeri Johor sedia ada terbentuk daripada mandat rakyat pada PRN Johor 2022, dengan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri adalah wakil BN.

“PH dan Perikatan Nasional di Johor kekal sebagai entiti luar pentadbiran negeri.

“Mereka memainkan peranan kritikal sebagai semak dan imbang di Dewan Negeri, peranan yang sentiasa kami hormati,” katanya.

Datuk Abdul Halim menyimpulkan, BN Johor tidak mengkhianati sesiapa pun, kerana dalam kerangka demokrasi, kuasa penentu terletak di tangan rakyat melalui proses pilihan raya.

“Justeru, di mana letaknya pengkhianatan apabila BN tekad mempertahankan mandat rakyat, kekuatan autonomi dan rekod pentadbiran yang telah terbukti cemerlang?

“Dalam sistem demokrasi, bertanding adalah tuntutan hak, bukan pengkhianatan, kerana penentu muktamadnya adalah rakyat Johor,” tegasnya.