JOHOR BAHRU: Keputusan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan sebelum atau selepas PRN Melaka bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang juga Sultan Johor, dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, apabila tiba masanya kelak.

“Saya akan berbincang (tentang PRN Johor) dengan Menteri Besar Johor setelah mendapat perkenan daripada Tuanku berdua (Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail).

“Pertemuan dengan Tuanku (pagi 11 Mei) tidak sentuh langsung mengenai perkara itu (pilihan raya), sebaliknya ia peristiwa yang sangat signifikan kepada Umno sempena ulang tahun ke-80 Umno, kita tahu bahawa penubuhan parti ini telah dibuat di Istana Besar Johor pada 11 Mei 1946,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Pejabat Perhubungan Umno Negeri Johor, di Johor Bahru pada 11 Mei.

Turut hadir, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan barisan kepemimpinan Umno lain.

Sementara itu, mengulas tentang mesyuarat MKT Umno yang diadakan, Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu, ia merupakan satu mesyuarat MKT biasa yang membincangkan pelbagai isu nasional.

“Mesyuarat MKT juga banyak membincangkan isu-isu nasional yang besar,” tambahnya, lapor Utusan Malaysia.

Pada pagi 11 Mei, Sultan Ibrahim bersama Tunku Mahkota Ismail menerima rombongan barisan kepemimpinan tertinggi Umno di Istana Besar Johor, sempena sambutan ulang tahun ke-80 parti itu, di Johor Bahru.

Kededua Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail turut bersetuju mengambil gambar bersama kepemimpinan parti itu di Tangga Selat, Istana Besar Johor, sebagai simbolik merai tertubuhnya parti tersebut di istana berkenaan pada 11 Mei 1946.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, mendedahkan pendaftaran ahli baharu secara atas talian yang dimulakan Umno mencatat pendaftaran seramai 16,867 ahli baharu.

“Selepas 20 hari dilancarkan, kita telah terima permohonan keahlian baharu mencecah 16,867 dengan 71 peratus daripadanya terdiri daripada anak muda,” kata beliau.