Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemuda BN Johor pertahan keputusan tanding semua 56 kerusi DUN
Pemuda BN Johor pertahan keputusan tanding semua 56 kerusi DUN
Pemuda BN Johor pertahan keputusan tanding semua 56 kerusi DUN
JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor menyifatkan keputusan gabungan itu untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang sebagai langkah tepat bagi memperkukuh mandat rakyat serta mengekalkan kestabilan politik negeri.
Dalam satu kenyataan bersama, sayap pemuda BN Johor berkata keputusan yang diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada 16 Mei adalah selaras dengan amalan demokrasi matang.
Menurut kenyataan itu, mana-mana parti atau gabungan yang sedang mentadbir kerajaan sememangnya bertanggungjawab menawarkan diri semula kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru.
“Sebaliknya sesuatu yang amat janggal dan tidak masuk akal sekiranya parti penyandang sendiri kelihatan teragak-agak, tidak yakin atau tidak bersedia untuk mempertahankan kerajaan yang ingin terus dipimpin,” berdasarkan kenyataan yang disiarkan pada 18 Mei.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros; Ketua Pemuda Persatuan Cina Malaysia (MCA) Johor, Encik Heng Zhi Li; serta Ketua Pemuda Parti Kongres India (MIC) Johor, Encik Mohan Arunachalam.
Mereka berkata Pakatan Harapan (PH) Johor tidak sepatutnya mendakwa keputusan BN Johor itu sebagai satu bentuk pengkhianatan kerana kerajaan negeri sedia ada dibentuk hasil mandat jelas rakyat pada PRN Johor 2022.
“Kerajaan Johor hari ini bukan terbentuk hasil gabungan politik pasca pilihan raya ataupun rundingan pembahagian kuasa, tetapi lahir daripada mandat jelas rakyat Bangsa Johor dalam PRN Johor 2022 yang memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, Pemuda BN Johor turut mengalu-alukan sekiranya PH Johor mahu meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.
Jelasnya, rakyat perlu diberi peluang membuat penilaian sendiri menerusi proses demokrasi terbuka dan matang.
“Inilah demokrasi sebenar, rakyat diberi pilihan, parti diberi ruang bertanding dan mandat ditentukan sepenuhnya oleh pengundi,” katanya.
Menurut mereka, keputusan BN Johor untuk bertanding di semua kerusi dibuat bagi memastikan kestabilan politik negeri dapat dikekalkan selain meneruskan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Pemuda BN Johor juga percaya bahawa Barisan Nasional Johor kekal sebagai formula terbaik untuk terus mengemudi kerajaan negeri dalam PRN akan datang demi kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan bangsa Johor,” katanya.
