BAGAN DATUK (Perak): Barisan Nasional (BN) bersedia menawarkan kedudukan dalam pentadbiran kerajaan Negeri Melaka kepada wakil Perikatan Nasional (PN), sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan itu selaras kerjasama politik yang dimeterai kedua-dua gabungan itu bagi menghadapi PRN kali ini.

“Sebagaimana yang berlaku di Negeri Sembilan menerusi kerjasama dengan PN, dan di Melaka bersama PH (Pakatan Harapan) sebelum ini, kita menghormati persetujuan dengan memberikan pelantikan kepada rakan kerjasama untuk menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri.

“Justeru, kita akan mengambil pendekatan sama dengan menjemput wakil PN yang memenangi kerusi untuk menganggotai Kerajaan Negeri sekiranya kita berjaya membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026, di Bagan Datuk, Perak, pada 1 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Zahid berkata BN dan PN sudah menandatangani perjanjian persefahaman bagi menggerakkan jentera serta mobilisasi pengundi untuk memberikan sokongan kepada calon yang dipersetujui bersama.

“Kita tidak menolak kemungkinan wujud permasalahan di peringkat akar umbi kerana proses penyesuaian antara kedua-dua parti mungkin bermula agak lewat.

“Justeru, pemimpin kedua-dua parti gabungan BN dan PN akan turun ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melaksanakan penyelarasan serta memperkemas gerak kerja jentera di peringkat ketempatan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan DUN,” katanya.

Mengulas sasaran majoriti BN pada PRN Melaka, Datuk Zahid tidak membuat sebarang jangkaan khusus sama ada gabungan itu mampu mengekalkan majoriti dua pertiga.

Sebaliknya, beliau menumpukan kepada keberkesanan kerjasama politik dan penyelarasan jentera bersama PN.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata persetujuan untuk BN memperuntukkan jawatan Ahli Exco kepada PN, antara persetujuan dicapai bersama kededua gabungan itu, dalam rundingan kerjasama PRN Melaka.

Beliau berkata perkara itu sudah dibincangkan dan dipersetujui bersama sejak awal rundingan antara kededua parti gabungan itu.

Beliau berkata perkara paling penting ketika ini adalah semua pihak perlu bekerja keras memastikan kemenangan dan tidak memandang mudah mana-mana saingan.

“Persefahaman dan kerjasama antara semua pihak amat penting bagi memastikan kejayaan kita pada pilihan raya 14 November ini.

PRN Melaka ke-16 menyaksikan 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini.

Hari pengundian awal pula dijadualkan pada 10 November, manakala hari penamaan calon telah berlangsung pada 31 Oktober lalu.