JOHOR BAHRU: Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Encik Mohd Hairi Mad Shah, menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN) menyelesaikan sebarang ketidakpuasan hati melalui rundingan dan mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan gabungan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau turut mengkritik kenyataan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai hubungan Umno dengan MCA, sambil menegaskan bahawa urusan dalaman BN perlu diselesaikan sendiri oleh gabungan itu.

“Jika ada yang tidak puas hati, bawa ke meja rundingan. Itulah tradisi BN sejak dahulu, dan pucuk pimpinan BN sudah pun menyatakan komitmen untuk menyelesaikan perkara ini sebelum hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan pada 26 Oktober.

Encik Hairi berkata hubungan antara parti komponen BN telah lama terjalin dan semua pihak perlu bersikap matang dalam menangani perbezaan.

Menurutnya, tindakan yang memperlihatkan perpecahan hanya akan memberi ruang kepada lawan politik untuk mengambil kesempatan.

“Sebagai rakan yang susah senang bersama, menang kalah bersama, jadilah sahabat yang matang. Janganlah kita lakukan tindakan yang hanya memberi peluru percuma kepada lawan yang memang menunggu BN berpecah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa pemimpin PKR yang, menurutnya, membangkitkan soal keikhlasan, prinsip dan layanan terhadap rakan gabungan dalam hubungan Umno dengan MCA.

Dalam kritikannya, Encik Hairi mempersoalkan kedudukan PKR untuk menasihati BN mengenai politik gabungan dengan merujuk prestasi parti itu pada PRN Melaka 2021.

Menurutnya, PKR bertanding di 11 kerusi ketika itu tetapi tidak memenangi sebarang kerusi.

Beliau mendakwa kenyataan pemimpin PKR berkenaan memberi gambaran seolah-olah parti itu merupakan penyumbang kerusi terbesar dan paling layak menegur cara BN menguruskan hubungan antara komponennya.

Bagaimanapun, kenyataan Encik Hairi tidak menamakan pemimpin PKR yang dikritik atau memperincikan kenyataan mereka.

Beliau menegaskan bahawa Pemuda Umno mahu BN menghadapi PRN Melaka sebagai satu pasukan.

“Urusan keluarga BN akan diselesaikan dalam keluarga BN. PKR tidak perlu menjadi orang tengah, apatah lagi penasihat yang tidak diundang,” katanya.