Topik diikuti
Pergi ke BHkuBN tanding 25 dari 36 kerusi PRN N.Sembilan
BN tanding 25 dari 36 kerusi PRN N.Sembilan
Keputusan sahkan persefahaman pilihan raya parti dengan PN; Khairy tidak tersenarai sebagai calon
BN tanding 25 dari 36 kerusi PRN N.Sembilan
Barisan Nasional (BN) hanya mengumumkan calon untuk 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos ini, sekali gus dilihat mengesahkan persefahaman pilihan raya dengan Perikatan Nasional (PN), yang diperkatakan sebelum ini.
Pada masa yang sama, pengumuman calon gabungan itu dalam satu majlis di Seremban, Negeri Sembilan, pada malam 15 Julai, turut menyaksikan nama mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, yang sebelum ini disebut-sebut bakal bertanding pada PRN itu, tidak tersenarai.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum mengumumkan senarai calon itu mengesahkan BN memasuki PRN Negeri Sembilan kali ini dengan ‘persefahaman bersama kawan yang boleh dipercayai’, namun tidak memperincikan pihak yang dimaksudkan.
Menurut beliau lagi, akan ada pengumuman lain untuk kerusi yang masih kosong itu.
“Seperti disebut oleh Presiden (Umno), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa akan ada pengumuman lain kerana kita memasuki PRN16 ini dengan membuat persefahaman dengan kawan.
“Tetapi jangan risau, kita tidak ada buat persefahaman dengan Linggi, kita buat persefahaman dengan (pihak) yang boleh dijadikan rakan yang dipercayai, insya-Allah,” katanya pada majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera BN di Seremban, Negeri Sembilan itu.
Linggi yang disebut Datuk Mohamad merujuk kepada kerusi DUN yang akan ditandingi Menteri Besar sementara Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun.
BN sebelum ini adalah rakan kerjasama PH yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan selepas PRN 2023.
PH sudah mengumumkan calonnya pada malam 14 Julai.
Dalam PRN15 pada Ogos 2023 itu, blok PH memenangi 17 kerusi DUN, manakala BN 14 kerusi dan lima kerusi lagi diperoleh PN.
Dengan hanya 25 calon BN diumumkan, ia sekali gus menguatkan kenyataan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, bahawa parti komponen utama PN itu sedang mengadakan rundingan kerusi dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Tan Sri Abdul Hadi dilaporkan berkata perbincangan antara kededua pihak sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan positif.
Malah, Tan Sri Abdul Hadi berkata PAS turut bersedia menerima dan menyokong calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Umno, sekiranya kerjasama antara kededua parti itu dapat dimuktamadkan.
Bagaimanapun Datuk Ahmad Zahid sebelum ini dilapor menafikan sebarang rundingan atau kerjasama yang dimuktamadkan dengan PAS bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
PN dijadual mengumumkan calonnya yang akan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan kali ini pada malam 16 Julai, di Kompleks PAS Negeri Sembilan di Ampangan, Seremban.
Terdahulu, Datuk Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dalam ucapannya pada majlis itu, berkata pengumuman calon pihak lain pada malam 16 Julai adalah penting.
Namun, beliau tidak menamakan parti yang dimaksudkannya.
“Insya-Allah, malam 16 Julai, kita akan dengar pengumuman calon daripada pihak lain pula.
“Pengumuman esok mungkin agak penting,” katanya.
Dalam ucapannya juga, Datuk Ahmad Zahid berkata kemenangan bergaya BN yang mendominasi 48 daripada 56 kerusi DUN pada PRN di Johor, memberi keyakinan kepada gabungan itu untuk memenangi PRN Negeri Sembilan.
Namun, katanya kemenangan itu tidak akan berulang di Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, tanpa kebersamaan, kesepaduan dan kerja keras pemimpin dan ahli parti.
“Dalam politik, kemenangan semalam tidak pernah menjamin kemenangan esok.
“Kemenangan di (PRN) Johor bukan tiket automatik untuk kita menang di Negeri Sembilan, sebaliknya ia jadikan ia pembakar semangat untuk kita bekerja lebih kuat dan tersusun.
“Kita mesti turun ke gelanggang, seolah-olah bermula dari kosong.
“Setiap undi mesti dicari, setiap rumah mesti diziarahi, setiap pengundi mesti disantuni.
“Inilah yang akan menentukan kemenangan kita pada 1 Ogos nanti,” katanya.
Hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 18 Julai, manakala hari pengundian pada 1 Ogos.
PRN Negeri Sembilan diadakan lebih awal daripada tempoh tamat penggal pada September 2028, berikutan krisis institusi Raja dan Adat di negeri itu yang membawa kepada kemelut politik berlarutan sejak April lalu.
Ia selepas 14 ahli DUN Umno/BN menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin yang didakwa gagal menguruskan krisis Raja dan Adat di negeri itu.
