KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kekal pendirian untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, dengan tumpuan kini diberikan kepada usaha memperkukuhkan penyatuan kepimpinan serta jentera parti di semua peringkat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu pilihan dibuat kepemimpinan BN dan Umno Negeri Sembilan, berbeza dengan pendekatan (PRN15) yang menyaksikan kerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata pertemuan yang berlangsung pada 28 Jun juga memutuskan BN tidak akan mencampuri krisis melanda negeri itu, membabitkan institusi Raja dan Dewan Keadilan Undang (DKU) atau Adat di Negeri Sembilan.

“Pertemuan kita itu adalah untuk kesiapsiagaan menghadapi PRN Negeri Sembilan dan perkara-perkara yang kita tekankan bahawa, kita tidak akan pernah mencampuri soal perundangan terutama Institusi Raja dan DKU di Negeri Sembilan.

“Kita mesti berada di luar daripada lingkungan berkenaan. Yang penting ialah penyatuan dalam kalangan kepimpinan dan ahli-ahli di semua peringkat untuk menghadapi PRN ini. Kita juga telah memberikan penekanan bahawa gerak kerja yang akan kita hadapi ini berada dalam situasi luar biasa.

“Kalau dahulu dalam PRN15, kita bersama-sama dengan parti-parti komponen dalam PH. Tetapi tidak lagi pada (PRN) kali ini kerana itu adalah pilihan yang dibuat Umno dan BN Negeri Sembilan. Maka kita pergi secara solo,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi 2025 bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Kuala Lumpur, pada 29 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Ahmad Zahid sebelum itu mengadakan satu pertemuan bersama kepimpinan empat peringkat cawangan Umno Negeri Sembilan.

Menjawab sama ada sebarang ketetapan termasuk strategi, penetapan calon dan manifesto bergantung kepada keputusan PRN Johor, Presiden Umno itu berkata perkara berkenaan akan diperincikan oleh pucuk pimpinan BN dan Umno.

Beliau berkata pengerusi parti komponen BN turut akan duduk semeja untuk memperincikan perkara itu.

“Sekarang BN dan Umno Negeri Sembilan sedang memperincikan calon-calon yang akan diketengahkan. Di peringkat BN, perbincangan akan diadakan dengan parti-parti komponen BN Negeri Sembilan.

“Saya sertakan soal perincian kepada Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Jadi perbincangan itu akan diadakan dalam kalangan mereka ini dan juga akan membabitkan pengerusi-pengerusi parti komponen BN Negeri Sembilan, untuk menentukan kerusi-kerusi bakal ditandingi serta calon-calon yang akan diketengahkan,” katanya.