Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang dijadual berlangsung pada 11 Julai.

Datuk Mohd Puad berkata keputusan itu dibuat atas faktor usia dan kepercayaannya sudah tiba masanya kepimpinan muda diberi ruang lebih besar bagi menerajui pentadbiran negeri.

Beliau berkata hasrat berkenaan bukan keputusan baharu, malah telah dimaklumkan kepada Presiden Umno serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, kira-kira dua minggu lalu.

“Saya telah membuat keputusan ini sejak setahun lalu. Faktor usia adalah faktor utama.

“Saya kini berusia 69 tahun. Jika lima tahun lagi, umur saya mencecah 74 tahun.

“Pada saya, tidak sesuai lagi pada usia tersebut untuk bertanding kerusi DUN,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Jun.

Beliau berkata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, wajar diberi peluang memimpin barisan calon muda bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Onn Hafiz wajar diberi peluang memimpin barisan muda bertanding dan memimpin kerajaan negeri.

“Pada pandangan saya, calon yang berusia 50 tahun ke bawah, lebih sesuai diketengahkan untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan Johor pada masa hadapan,” katanya.

Datuk Mohd Puad turut mengemukakan beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan dalam memilih calon pelapis bagi menggantikan beliau di kerusi berkenaan.

Menurutnya, calon yang dipilih perlu memiliki kelayakan akademik yang baik, berakhlak, komited terhadap perjuangan parti serta memahami hala tuju bangsa dan negeri.

“Saya telah memberikan cadangan mengenai ciri-ciri pelapis yang perlu dipertimbangkan.

“Mereka mestilah berkelulusan, berakhlak, komited kepada perjuangan dan memahami hala tuju bangsa.

“Saya berharap Datuk Onn Hafiz menerima dan melaksanakannya,” kata beliau.

Walaupun tidak akan bertanding semula, beliau berkata masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum proses penamaan calon pada 27 Jun ini.

Menurutnya, tempoh lebih empat tahun berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit memberi peluang kepadanya memahami keperluan serta aspirasi penduduk setempat.

“Selama lebih empat tahun, saya menjadi wakil rakyat yang tinggal di kawasan ini. Saya mengenali hati nurani rakyat Rengit.

“Saya amat menghargai sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh rakyat Rengit sepanjang tempoh perkhidmatan saya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam, ketua kampung serta masyarakat Cina di kawasan itu, yang banyak membantu melancarkan urusan pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam kenyataan sama, Datuk Mohd Puad menzahirkan junjungan kasih kepada Yang di-Pertuan Agong merangkap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, atas perkenan melantiknya sebagai Speaker DUN Johor.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atas nasihat serta bimbingan yang diberikan sepanjang beliau mengendalikan perjalanan sidang DUN Johor.

“Menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, yang memperkenankan pelantikan saya sebagai Speaker DUN Johor.

“Menjunjung kasih juga kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas nasihat dan bimbingan beliau agar sidang DUN Johor sentiasa berjalan dengan tertib dan lancar,” katanya.