Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Boikot susuli konflik: Menteri M’sia gesa usah emosi

Dec 8, 2023 | 3:01 PM
BELI BARANG TEMPATAN: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Cik Fuziah Salleh, mempromosikan produk keluaran tempatan yang diketengahkan sepanjang Kempen Beli Barangan Malaysia di pasar raya di Kuala Lumpur pada 7 Disember 2023.
BELI BARANG TEMPATAN: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Cik Fuziah Salleh, mempromosikan produk keluaran tempatan yang diketengahkan sepanjang Kempen Beli Barangan Malaysia di pasar raya di Kuala Lumpur pada 7 Disember 2023. - Foto FACEBOOK / FUZIAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Orang ramai disaran untuk tidak mengikut emosi, sebaliknya membuat keputusan mengikut fakta sekiranya ingin memboikot barangan tertentu susulan konflik Palestin-Israel yang berlaku ketika ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Cik Fuziah Salleh, berkata kerajaan tidak menghalang sebarang bentuk boikot kerana ia hak pengguna, bagaimanapun keputusan itu perlulah mengikut fakta.

Sejak Oktober lalu, masyarakat pengguna di Malaysia dilihat agresif mempertahankan tindakan mereka untuk memboikot barangan tertentu terutama daripada syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel.

Ia dilihat sebagai sebahagian solidariti dan bantahan terhadap keganasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin oleh tentera Israel, selain desakan untuk Israel menghentikan penindasan terhadap Palestin.

Mengulas lanjut, Cik Fuziah berkata dalam menangani sentimen emosi yang menyelubungi konflik Gaza dan siri boikot melibatkan syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel, rakyat Malaysia juga mempunyai cara alternatif untuk menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Katanya, ia termasuklah menyalurkan sumbangan amal melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai reputasi baik dan dipercayai.

“Saya percaya orang ramai harus bergantung pada fakta dan bukan emosi semata-mata. Walaupun kita mungkin berasa emosi tentang Gaza, terdapat cara alternatif untuk menyatakan sokongan, seperti membuat sumbangan melalui NGO yang boleh dipercayai.

“Mereka (orang ramai) boleh menyalurkan sokongan dan berkongsi solidariti serta rasa sedih dengan cara itu,” katanya lapor Malay Mail pada 7 Disember.

Pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada 14 November 2023, Cik Fuziah berkata KPDN ketika ini tidak mempunyai sebarang dasar berhubung tindakan memboikot sesuatu barangan oleh pengguna.

Menyentuh mengenai tindakan pengguna memboikot produk berkait Israel, beliau berkata kerajaan tidak boleh menghalang kerana ia merupakan hak pengguna.

Terdahulu beliau merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 di Lulu Hypermatket & Department Store, Capsquare, Kuala Lumpur, pada 7 Disember.

Kempen berkenaan dijalankan sejak 1984 sebelum diperbaharui pada 2019, bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia membeli barangan keluaran tempatan, membantu pengusaha tempatan mempromosikan barangan keluaran mereka di samping meningkatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat dengan mengutamakan produk keluaran tempatan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg