Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bomba Johor siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

Oct 10, 2025 | 12:15 PM
bomba, monsun, Johor
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menyelamatkan warga emas di Kampung Paya Sungai Redan, Kota Tinggi. - Foto FACEBOOK JBPM JOHOR

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor telah merekodkan 339 lokasi yang dikenal pasti berisiko banjir di seluruh Johor, dengan 23 cerun kritikal di tujuh daerah menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.

Pengarah JBPM Johor, Cik Siti Rohani Nadir, berkata pihaknya kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dengan penekanan terhadap pengaktifan Skuad Kilat di kawasan berisiko tinggi seluruh negeri.

Tambahnya, langkah persediaan awal ini adalah penting bagi memastikan pasukan bomba dapat bertindak pantas sebaik amaran cuaca dikeluarkan.

“Kita telah menyiapkan pelan tindak balas menyeluruh termasuk menggerakkan Skuad Kilat di semua daerah berisiko. Pasukan ini berperanan tiba dalam tempoh kurang 30 minit selepas laporan diterima untuk melakukan penilaian awal dan membantu pemindahan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Oktober.

Menurut beliau, sebanyak 339 lokasi dikenal pasti berisiko banjir di seluruh 10 daerah Johor, dengan tumpuan di Muar (66 lokasi), Batu Pahat (47), Johor Bahru (44) dan Kota Tinggi (31).

Selain itu, 23 cerun kritikal di tujuh daerah turut dipantau rapi, termasuk di Segamat, Muar, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, yang sering terdedah kepada hakisan tanah dan kejadian runtuhan ketika hujan lebat berpanjangan.

“Berdasarkan ramalan cuaca, hujan lebat dijangka berlaku secara berterusan di beberapa kawasan selatan dan timur negeri. Justeru, pemantauan kini difokuskan kepada kawasan penempatan berhampiran sungai dan cerun, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” jelas beliau.

Bagi menghadapi kemungkinan banjir, JBPM Johor telah menempatkan Skuad Kilat di balai strategik seperti Ayer Hitam, Skudai dan Bukit Gambir.

Pasukan khas ini dilengkapi dengan 46 kenderaan pacuan empat roda (4x4), 47 bot penyelamat, 11 lori logistik, lebih 1,100 jaket keselamatan (PFD) dan 140 tali penyelamat untuk operasi air.

“Skuad Kilat merupakan pasukan barisan hadapan kami. Mereka bukan sahaja menjalankan pemindahan awal, malah membantu pemantauan paras air dan memberi amaran kepada penduduk apabila keadaan mulai berisiko,” tambah Cik Siti Rohani.

Beliau berkata JBPM Johor turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam memantau empat empangan utama negeri iaitu Bekok, Sembrong, Labong dan Machap, yang memainkan peranan penting dalam kawalan aliran air serta pencegahan banjir.

Sebanyak 119 lokasi pendaratan helikopter di seluruh Johor turut dikenal pasti untuk operasi menyelamat udara sekiranya berlaku gangguan jalan darat, termasuk 28 lokasi di Johor Bahru dan 16 di Batu Pahat.

Cik Siti Rohani berkata JBPM Johor turut menyelaraskan kesiapsiagaan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh koordinasi semasa bencana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg