JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memberi jaminan kesiapsiagaan penuh menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 dengan melaksanakan pelbagai langkah pencegahan banjir dan pengurusan bencana, termasuk sembilan projek tebatan bernilai RM17.1 juta ($5.2 juta) pada 2025.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Haffiz Ahmad, berkata enam daripada sembilan projek itu telah disiapkan, manakala selebihnya kini giat dilaksanakan bagi memastikan ia siap sebelum monsun bermula.
Projek tersebut merangkumi kerja menaik taraf sistem perparitan, pembinaan kolam takungan banjir, pembaikan tembok parit runtuh, penyelenggaraan kolam tadahan serta penggalian mendakan sungai.
“Daripada 23 kawasan panas (hotspot) banjir di bawah pentadbiran MBJB, 18 kawasan telah berjaya ditangani menerusi projek tebatan, manakala baki lima lagi sedang dalam proses penyelesaian.
“Saya berharap kerja-kerja ini dipantau rapi agar ia dapat disiapkan sepenuhnya sebelum musim tengkujuh tiba,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB pada 1 Oktober.
Selain projek fizikal, MBJB turut menyediakan persiapan menyeluruh bagi menghadapi kemungkinan banjir.
Setakat ini, tujuh dewan raya telah diwartakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bilik gerakan bencana telah beroperasi, manakala 23 kenderaan termasuk kenderaan berat disediakan untuk operasi kecemasan.
“Seramai 158 anggota turut ditempatkan dalam keadaan bersedia sepanjang Monsun Timur Laut ini bagi memastikan operasi penyelamatan dan bantuan dapat digerakkan segera apabila diperlukan,” jelas Datuk Haffiz.
Beliau turut menekankan peranan Skuad Kilat MBJB yang berfungsi sebagai responden pertama terhadap sebarang aduan kecemasan, termasuk banjir kilat, tanah runtuh, pokok tumbang dan kejadian luar jangka lain.
“Skuad Kilat menjadi barisan hadapan sebelum tindakan lanjut diambil oleh agensi lain.
“Peranan ini amat penting kerana ia memastikan tindakan awal dapat dilakukan dengan pantas, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan dan bahaya kepada orang awam,” katanya.
Selain itu, MBJB bersama Yayasan Bandaraya Johor Bahru juga akan memastikan keperluan asas termasuk bekalan makanan, tersedia di setiap PPS sebagai langkah bantuan segera kepada mangsa banjir.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata projek berkenaan adalah sebahagian usaha menyeluruh kerajaan negeri untuk memastikan rakyat hidup dalam persekitaran lebih selamat, selesa dan sejahtera.
Menurutnya, projek pertama membabitkan kerja menaik taraf pintu air, sistem pam dan pembentung di Persiaran Abu Bakar Sultan yang merentasi Sungai Chat.
“Projek bernilai RM9.8 juta ini kini telah mencapai 72 peratus kemajuan fizikal.
“Apabila siap pada Januari 2026, ia dijangka dapat mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan Kampung Mohd Amin, Jalan Kolam Ayer serta kawasan sekitar,” katanya.
Projek kedua pula ialah menaik taraf sistem perparitan di Jalan Dato’ Sulaiman, Taman Abad, yang sering terdedah kepada banjir kilat.
Dengan kos RM7.7 juta, projek itu kini berada pada tahap 40 peratus kemajuan dan dijadual siap pada Januari 2026.
“Peningkatan kapasiti perparitan amat penting kerana ia melibatkan laluan utama serta kawasan tumpuan ekonomi dan kediaman,” jelasnya.
Datuk Mohd Jafni menambah, kedua-dua projek tersebut bukan sahaja menambah baik prasarana tebatan banjir bandar raya, malah memberi manfaat terus kepada puluhan ribu penduduk.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg