Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk di 1,912 tempat mudah banjir diingat buat persediaan jelang musim monsun

Oct 8, 2025 | 3:58 PM
banjir, persediaan, amaran
Beberapa perkampungan di Sik, Kedah, dilanda banjir kilat pada 4 Oktober, menyusuli hujan lebat yang menyebabkan limpahan air sungai. - Foto ANGKATAN PERTAHANAN AWAM

KOTA BHARU (Kelantan): Sebanyak 1,912 kawasan panas atau hotspot banjir di Malaysia sudah dikenal pasti sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November depan.

Pengarah Bahagian Mitigasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Encik Ahmad Shahrir Md Nazri, berkata kawasan hotspot banjir itu membabitkan Sabah sebanyak 318 kawasan; Sarawak (236 kawasan) dan Kedah (221).

Tiga negeri pantai timur yang kerap dilanda banjir iaitu Pahang pula mengenal pasti 172 kawasan hotspot banjir; 26 kawasan di Kelantan manakala 17 lagi di Terengganu.

Katanya, hotspot banjir di Sabah kerana keadaan geografi di negeri itu sangat curam menjadikan aliran air lebih laju dan banjir datang bersama batu-batuan, manakala Sarawak juga kawasannya curam dan landai menyebabkan banjir di lokasi landai. Kedah juga banjir di kawasan landai.

“Episod MTL dijangka berlaku bermula November dan berterusan sehingga Disember depan.

“Sebagai persediaan, Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Pusat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diadakan pada 13 Oktober ini,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Forum Iklim Kebangsaan 2025 ‘Amaran Awal, Tindakan Bersama’ di Kota Bharu, Kelantan, pada 8 Oktober.

Mengulas lanjut, Encik Ahmad Shahrir, mengingatkan penduduk yang terdedah kepada risiko banjir supaya membuat persediaan awal.

“Mereka yang berada di lokasi hotspot dapat mengikuti saluran maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pelbagai agensi yang bekerjasama dalam pengurusan banjir.

“Nadma berharap saluran maklumat banjir sampai secara berterusan, cepat dan tepat kepada semua bagi mengelakkan panik,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 258 pam air bergerak disediakan di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pada 7 Oktober pula, Datuk Ahmad Zahid berkata Nadma menambah baik mekanisme pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi memastikan proses agihan bantuan kepada mangsa bencana dapat dilakukan dengan lebih cepat dan teratur menjelang musim MTL 2025/2026.

Beliau berkata menerusi penambahbaikan itu, mangsa bencana akan menerima wang bantuan antara satu hingga tiga hari selepas pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

Katanya, sejumlah RM284.8 juta ($87.4 juta) sudah disalurkan kepada semua negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri untuk diagih kepada ketua isi rumah (KIR) berdaftar atau berpindah PPS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg