Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bot karam di perairan M’sia-Thai: 11 mayat ditemui, usaha cari mangsa diteruskan

Nov 10, 2025 | 12:25 PM
bot, karam, diteruskan, Langkawi
Anggota Maritim Malaysia pada 10 November meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam berhampiran perairan sempadan Malaysia - Thailand. - Foto ihsan MARITIM MALAYSIA

ALOR SETAR (Kedah): Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Langkawi, Kedah, diteruskan oleh pihak berkuasa dan pasukan penyelamat Malaysia pada 10 November, dengan setakat ini 11 migran disahkan maut, manakala 13 lagi berjaya diselamatkan.

Dalam insiden beberapa hari lalu, sebuah bot yang dipercayai membawa 90 pendatang tanpa dokumen dari Myanmar, Bangladesh dan komuniti Rohingya pecah di laut berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata bot berkenaan sebahagian daripada kapal besar yang membawa kira-kira 300 orang sebelum dihantar sindiket ke tiga bot kecil sewaktu menghampiri sempadan Malaysia.

“Tiga hari lalu, ketika hampir tiba di sempadan, kumpulan itu dipecahkan oleh sindiket dan dipindahkan ke tiga bot kecil, masing-masing memuatkan lebih kurang 90 orang.

“Bot yang membawa 90 orang itu dipercayai karam, manakala dua lagi bot masih belum dapat dikesan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurutnya, tiga mangsa pertama yang ditemui maut adalah lelaki Myanmar, manakala tiga lagi lelaki Rohingya dan seorang warga Bangladesh.

“Sementara itu, mayat seorang wanita Rohingya turut ditemui hanyut di laut,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Adzli berkata setiap individu dikatakan membayar kira-kira RM13,000 ($4,059) kepada sindiket bagi perjalanan ke Malaysia.

“Kapal yang membawa 300 orang bercampur Myanmar, Bangladesh dan Rohingya bergerak sejak sebulan lalu.

“Mereka difahamkan membayar RM13,000 seorang dan ada yang hingga menjual tanah untuk membayar sindiket datang ke sini,” katanya sambil menambah, siasatan lanjut kini masih dijalankan.

Datuk Adzli berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk mengesan mangsa lain serta baki bot yang hilang.

Enam agensi terbabit dalam operasi berkenaan, dengan beberapa aset digerakkan melibatkan Maritim Malaysia; Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu; Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Jabatan Perikanan; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg