Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bot terbalik di Pelabuhan Klang: Polis jumpa 2 mayat terakhir

Jun 8, 2025 | 5:03 PM
tanjung harapan
Dua mayat mangsa bot terbalik di perairan Tanjung Harapan ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat yang disambung semula pada 7 pagi, 8 Jun. Mayat itu ialah pasangan suami isteri. Anak mereka berusia tiga tahun juga maut dan mayatnya telah ditemui. - Foto BERNAMA

PELABUHAN KLANG: Dua mayat terakhir dalam insiden bot terbalik di perairan Tanjung Harapan, Klang, Selangor, telah dijumpai menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula pada 7 pagi, 8 Jun.

Pegawai operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Leftenan Mohd Syafiq Sazali berkata kedua-dua mayat ditemui sekitar 7.45 pagi oleh kapal maritim yang menjalankan rondaan berhampiran Pusat Hidrografi Nasional, di Pulau Indah, Klang.

“Kapal KM Danga milik APMM mengesan mayat seorang wanita dan melaksanakan kerja-kerja pemulihan, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat turut mengerahkan aset mereka dan berjaya menemukan mayat seorang lelaki,” katanya.

“Kedua-dua mayat ditemui terapung (di permukaan air), sekitar 200 meter antara satu sama lain,” kata Leftenan Mohd Syafiq kepada wartawan selepas mayat mangsa dibawa naik ke jeti APMM Selangor.

Beliau berkata mayat warga tempatan itu, Encik Gan Hon Tat, 32 tahun, dan isteri, Cik Careen Man, 29 tahun, ditemui di kedudukan sekitar 0.1 batu nautika dari Pusat Hidrografi Nasional.

Kedua-dua mayat kemudian dibawa ke jeti APMM Selangor sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, lapor New Straits Times (NST).

“Operasi SAR secara rasmi ditamatkan pada 9.50 pagi hari ini (8 Jun). Operasi yang dikendalikan oleh APMM ini akan selesai setelah menerima arahan rasmi.

“Semua aset yang terlibat telah kembali dengan selamat ke pangkalan masing-masing,” tambah beliau.

Leftenan Mohd Syafiq turut mengingatkan golongan yang aktif di laut supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memakai jaket keselamatan ketika melakukan sebarang aktiviti di laut.

Media pada 7 Jun melaporkan bahawa tiga orang, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, meninggal dunia selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Harapan pada sekitar 4.30 petang 6 Jun.

Mereka yang terkorban ialah anak lelaki pasangan suami isteri itu, Darren Gan, tiga tahun; Encik Cheu Son Hin, 50 tahun; dan Encik Fong Yong Sen, 29 tahun, ketiga-tiga mangsa ditemui dalam bot terbabit.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Encik Chang Yan Qin Alvin, 17 tahun, terselamat, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Polis mengesahkan enam warga Malaysia yang terbabit dalam tragedi bot terbalik itu tidak memakai jaket keselamatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg