KUCHING (Sarawak): Malang menimpa lima peserta apabila mereka ditemui lemas selepas bot lumba regatta yang mereka naiki pada sesi latihan karam pada 18 Oktober lalu.
Mayat kelima-lima mangsa hanya ditemui secara berperingkat pada pagi 20 Oktober di perairan Royal Bay Commercial Centre di Kuching, Sarawak.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata semua mangsa ditemui oleh polis pantai Sarawak dengan bantuan dron.
“Penemuan berlaku pada pagi tadi (20 Oktober), dengan dua mangsa ditemui pada 6.16 pagi.
“Mangsa ketiga pada 6.40 pagi, manakala mangsa keempat dan kelima dijumpai pada 7.07 pagi dan 7.09 pagi,” katanya, lapor Kosmo!.
Ujarnya, mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.
Mangsa terbabit adalah Allahyarham Mohammad Ikhmal Sama’ail, 34 tahun; Allahyarham Majurie Maharuf, 32 tahun; Allahyarham Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26 tahun; Allahyarham Mohamad Khairul Bidin, 26 tahun; dan Allahyarham Muhammad Khairul Hisham Kasturi, 23 tahun.
Kesemua mereka adalah kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak.
Menurut jurucakap itu, mayat mangsa ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga susulan insiden itu pada 18 Oktober.
Terdahulu media melaporkan mangsa terbabit bersama 11 lagi rakan sepasukan menjalani latihan perlumbaan bot sebagai persediaan untuk menyertai Regatta Sarawak pada 1 hingga 3 November ini.
Seramai 11 daripada 16 peserta latihan regatta berjaya menyelamatkan diri.
Bot panjang yang mereka naiki karam selepas dibadai ombak yang terhasil daripada kapal nelayan dari arah bertentangan dalam kejadian 3.40 petang, 18 Oktober.
Regatta Sarawak adalah sukan air tertua di dunia sejak lebih 150 tahun lalu dan menjadi tumpuan pasukan pendayung sedunia untuk merebut gelaran raja sungai di Sarawak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg