JERTEH (Terengganu): Seorang suri rumah yang dipercayai terdesak sanggup membuat laporan palsu kononnya barang kemasnya disamun dua lelaki bersenjata.
Wanita itu berbuat demikian kerana panik apabila rakan yang dipinjamkan barang kemas berkenaan menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi, lapor Berita Harian Malaysia.
Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Besut menerima laporan kejadian samun membabitkan dua suspek bermotosikal dan bersenjatakan sebilah pisau.
Berdasarkan laporan dibuat kejadian dikatakan berlaku di kawasan sunyi bertempat di Kampung Hutan Nangka, Jerteh.
“Dua suspek dikatakan menahan pengadu dan mengacukan sebilah pisau serta merampas barang kemas dipakai pengadu.
“Kerugian dianggarkan lebih kurang RM7,000 ($2,088) dan pengadu tidak cedera,” katanya.
Bagaimanapun, siasatan mendapati kejadian samun tidak berlaku dan pengadu membuat laporan palsu.
“Pengadu mendedahkan beliau memberi pinjam barang kemas kepada rakannya dan rakannya tidak dapat dihubungi.
“Pengadu kemudian membuat laporan mengatakan disamun kerana takut dimarahi oleh suami,” katanya.
Katanya, pengadu dalam kes ini tidak ditangkap kerana kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan tidak boleh ditangkap dan memerlukan Perintah Untuk Menyiasat (OTI).
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai enam bulan atau denda boleh sampai RM 2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg