SEREMBAN: Keriangan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengayuh basikal berakhir dengan tragedi selepas dia maut apabila basikalnya dilanggar kenderaan dalam satu kejadian di sebuah taman perumahan di Bandar Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Penolong Pesuruhjaya Mohamad Hatta Che Din, berkata dalam kejadian kira-kira 7 malam pada 30 Jun itu, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, namun disahkan meninggal dunia sejam kemudian.
Menurut Encik Mohamad Hatta, kejadian itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu lelaki berusia 34 tahun dengan sebuah basikal ditunggang mangsa.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta berkenaan menuju ke pos pengawal taman perumahan terbabit.
“Pada masa sama basikal dinaiki mangsa datang dari arah bertentangan di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum basikal itu dipercayai masuk ke laluan Perodua Ativa menyebabkan pemandunya tidak sempat mengelak lalu terus melanggar basikal mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian.
Encik Mohamad Hatta berkata akibat kemalangan, penunggang basikal mengalami kecederaan di badan dan telah dibawa ke HTJ untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun, pada 8.05 malam hari sama, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan di Zon Unit Rawatan Rapi Hybrid HTJ. Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata ibu bapa atau penjaga dinasihatkan untuk mengawasi pergerakan kanak-kanak yang membuat kegiatan di luar rumah terutama yang menggunakan jalan raya supaya perkara tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg