JOHOR BAHRU: Empat individu, termasuk pemandu sebuah Toyota Vios, terselamat daripada maut selepas sempat keluar melarikan diri dari kenderaan mereka yang disimbah petrol lalu terbakar di Jalan Tebrau, Johor Bahru, pada 2 Februari malam.
Perselisihan faham dalam rumah tangga disyaki menjadi punca kereta berkenaan disimbah petrol dan dibakar dalam kejadian berhampiran sebuah hospital swasta itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (AC) Raub Selamat, berkata kejadian itu tular melalui video selama 28 saat yang memaparkan sebuah Toyota Vios warna putih milik seorang wanita warga Malaysia berusia 21 tahun disimbah petrol dan dibakar oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.
Beliau berkata polis kini memburu lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian tersebut. Beliau dipercayai adalah suami wanita di dalam kenderaan Toyota Vios itu.
“Difahamkan bahawa suspek tidak berpuas hati dengan mangsa selepas berlaku perselisihan faham dalam hal rumah tangga,” katanya menerusi satu kenyataan media pada 3 Februari, lapor Harian Metro.
Menurut AC Raub, susulan kejadian itu mangsa membuat laporan polis pada 1.33 pagi pada 3 Februari di Balai Polis Majidee, Johor Bahru.
Menurutnya, hasil siasatan awal polis dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku kira-kira 10.20 malam 2 Februari apabila suspek tiba-tiba muncul dan menyekat kenderaan yang dinaiki mangsa lalu menyimbah petrol ke atas kenderaan itu.
“Suspek kemudian menyalakan api dan terus melarikan diri menaiki sebuah kenderaan Toyota Vellfire.
“Kerosakan yang dialami mangsa membabitkan kerugian anggaran RM90,000 ($27,470), namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” ujarnya.
AC Raub berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau bahan letupan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg