Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Budak-budak’ tidak wajar: Pemuda Umno pertikai ungkapan Anwar
‘Budak-budak’ tidak wajar: Pemuda Umno pertikai ungkapan Anwar
Beliau berkata Johor ketika ini berjaya tampilkan keseimbangan antara pemimpin muda dan berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri
‘Budak-budak’ tidak wajar: Pemuda Umno pertikai ungkapan Anwar
Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melabel pemimpin muda sebagai “budak-budak” ketika mengulas pendirian Barisan Nasional (BN) Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dipertikai, disifatkan tidak wajar dikeluarkan seorang pemimpin negara.
Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Syed Hussien Syed Abdullah, melahirkan kekecewaan mendalam terhadap ungkapan itu.
Beliau menegaskan bahawa isu yang diutarakan oleh kerajaan negeri Johor menyentuh kepentingan seluruh Bangsa Johor, bukannya agenda peribadi mana-mana pihak.
“Saya rasa agak sedih apabila seorang pemimpin negara melabelkan pemimpin muda sebagai budak-budak,” ujar Syed Hussien kepada Berita Harian (BH).
Kenyataan tersebut muncul ketika mengulas ucapan Datuk Anwar pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Johor Bahru, berkaitan kesediaan gabungan itu untuk bertanding secara solo pada PRN, malah Pilihan Raya Umum (PRU).
Perdana Menteri dilaporkan menyatakan PH tidak gentar dengan “ugutan budak-budak,” sebaliknya bersedia memulangkan mandat kepada rakyat sekiranya perlu.
Syed Hussien yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota berkata keputusan BN Johor untuk menawarkan diri bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah sebahagian daripada proses demokrasi dan tidak berkaitan dengan keretakan hubungan di peringkat Persekutuan.
“Kita mahu membuka pilihan kepada rakyat. Ini soal demokrasi dan aspirasi Bangsa Johor sendiri.
“Ia langsung tidak ada kaitan dengan hubungan di peringkat Persekutuan kerana apa yang kita bawa hari ini ialah suara dan kepentingan rakyat Johor,” katanya.
Beliau turut mempertahankan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menurutnya bekerja keras menangani isu rakyat termasuk masalah kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bagi membantu rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
“Kita lihat sendiri bagaimana Menteri Besar turun ke CIQ pada waktu subuh ketika isu kesesakan sangat meresahkan rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
“Saya lihat beliau bekerja dengan ikhlas demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya.
Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang berkata Johor ketika ini berjaya menampilkan keseimbangan antara pemimpin muda dan berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Jelasnya, kebanyakan wakil rakyat muda membawa pendekatan dan imej pentadbiran lebih segar, namun pengalaman pemimpin senior tetap penting bagi memastikan keseimbangan dalam membuat keputusan.
“Kita bukan hanya perlukan orang muda, tetapi juga pengalaman. Di Johor, keseimbangan itu berjaya diwujudkan dan sebab itu kita dapat lihat kerjasama yang baik dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Terdahulu, Datuk Anwar dilaporkan berkata PH tidak gentar dengan ugutan “budak-budak”, sebaliknya bersedia memulangkan hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.
“Kita tak makan ugutan, tidak gentar, penjara sudah, ini pula nak ditakutkan oleh budak-budak, tidak mungkin. No way. Jadi kalau betul sudah penat dengan Kerajaan Perpaduan, kita kembalikan kepada rakyat bukan sahaja di Johor tetapi seluruh negara, ini semangat reformasi,” katanya.
