Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak maut tercekik gula-gula kenyal: M’sia larang jualan gummy eyeball

Feb 24, 2025 | 2:51 PM
Gula-gula kenyal berbentuk mata atau gummy eyeball yang disifatkan boleh menjadi perangkap maut buat kanak-kanak kerana boleh menyebabkan saluran pernafasan kanak-kanak tersekat. Penjualannya kini dilarang di Malaysia.
Gula-gula kenyal berbentuk mata atau gummy eyeball yang disifatkan boleh menjadi perangkap maut buat kanak-kanak kerana boleh menyebabkan saluran pernafasan kanak-kanak tersekat. Penjualannya kini dilarang di Malaysia. - Foto FACEBOOK PUBLIC HEALTH MALAYSIA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melarang penjualan gula-gula kenyal, atau gummy, berbentuk mata di semua platform dalam talian dan pasaran domestik, menyusuli kematian seorang budak 10 tahun di Pulau Pinang akibat tercekik makanan ringan itu.

Menurut KKM, hasil siasatan mendapati produk itu menyalahi syarat pelabelan yang diperuntukkan Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Justeru, KKM akan menguatkuasakan tindakan berdasarkan peraturan berkenaan, termasuk merampas produk terbabit yang masih dijual peniaga.

“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ingin memaklumkan bahawa saiz atau bentuk sesuatu makanan adalah tidak dikawal bawah Peraturan Makanan 1985 Akta 281.

“Bagaimanapun, ‘konfeksi jeli terkawal’ dengan saiz dan bentuk berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter hendaklah dilabel dengan ‘AMARAN: BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERCEKIK’ dan perkataan ‘TIDAK SESUAI BAGI KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 3 TAHUN’,” kata KKM dalam satu kenyataan.

Walaupun amaran itu telah dikeluarkan KKM, masih ada peniaga, terutama di platform dalam talian, yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan, masih menjual gula-gula kenyal berkenaan.

Malah, ada peniaga turut melakukan jualan murah dengan menawarkan harga rendah bagi menarik pembeli dan menghabiskan stok dalam simpanan mereka.

Berikutan itu, KKM telah mengarahkan dua platform jualan dalam talian supaya menurunkan iklan penjualan gula-gula itu.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata berdasarkan profiling yang dibuat, KKM mengenal pasti 86 pautan iklan di dua platform dalam talian yang masih mengiklankan produk itu, walaupun larangan jualan telah dikeluarkan KKM.

“KKM menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengarahkan platform berkenaan supaya menurunkan iklan yang menjual gula-gula gummy itu.

“Kita juga telah mengarahkan Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh Malaysia untuk melakukan penguatkuasaan di premis fizikal dan akan merampas produk yang masih dijual,” katanya.

Dalam kejadian pada 18 Februari itu, murid Darjah 4, Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, Allahyarham Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, dilaporkan tercekik gula-gula getah atau kenyal berbentuk mata yang dibeli di hadapan sekolahnya.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada 20 Februari ketika menerima rawatan di Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang, selepas tiga hari bertarung nyawa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg